Nuffnang

Saturday 22 August 2015

Tanam sayur bekas terbuang


Usaha menggalakkan suri rumah terbabit dengan aktiviti menanam sayuran di kawasan rumah sebagai memenuhi masa lapang dilakukan Pejabat Pertanian Daerah Kuantan menerusi program pertanian bandar.

Pegawai Pertanian Daerah, Amir Dzulfadli Samad berkata, pihaknya membekalkan pelbagai benih sayuran jenis daun dan buah termasuk baja jenis NPK hijau.

Beliau berkata, Kempen Jom Bertani dilakukan secara berterusan bagi menggalakkan suri rumah terutama yang tidak bekerja terbabit dengan aktiviti menanam sayuran di kawasan rumah mereka untuk kegunaan sendiri.

Katanya, tumpuan utama kempen itu membabitkan penduduk pelbagai kaum yang tinggal di kawasan taman perumahan di daerah ini menggunakan bahan terbuang sebagai medium utama menjayakan program berkenaan.

“Sebanyak tujuh kempen jom bertani diadakan di daerah ini dengan kerjasama Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Indera Mahkota, Kuantan yang mengadakan demonstrasi menanam selain menyediakan benih pokok.

“Kita ingin melihat lebih ramai suri rumah bercucuk tanam dalam kawasan rumah mereka bagi mengurangkan perbelanjaan dapur selain mendapat sayuran yang bebas racun.

“Mereka yang terbabit hanya menggunakan bahan terbuang seperti bekas minuman, kotak dan botol plastik untuk dijadikan bekas bagi menggantikan pasu yang biasa digunakan sebelum ini,” katanya dalam kempen Jom Bertani program pertanian bandar anjuran Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Cenderawasih Timur, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Program kali pertama di peringkat daerah itu disertai lebih 50 peserta terdiri daripada penduduk setempat yang turut memberikan peluang kepada mereka membawa pulang pelbagai benih pokok sayuran yang sedia ditanam.

Amir Dzulfadli berkata, pelbagai sayuran jenis daun dan buah seperti kangkung, kailan, sawi, bayam dan lada sesuai ditanam dalam bekas terbuang tanpa memerlukan modal yang banyak.

“Saya berharap dengan kempen ini, usaha menggalakkan suri rumah menanam sayuran di kawasan rumah masing-masing menjadi kenyataan satu hari nanti.

“Kami berminat dengan program pertanian bandar boleh berhubung dengan pejabat pertanian daerah bagi mendapat­kan khidmat nasihat seterusnya latihan bagi menjayakan projek berkenaan,” katanya.

Bagi Nooraini Ismail, 56, yang bertugas sebagai guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TBK) Cenderawasih Timur Satu, Kuantan, minat terhadap aktiviti bercucuk tananam mendorong dia menyertai program jom bertani.

Katanya, pengalaman menanam pokok kunyit dan serai di kawasan rumah sebelum ini menambahkan lagi semangatnya terbabit secara aktif dengan bantuan ahli keluarga.

“Saya menggunakan bahan terbuang seperti botol minyak masak, kotak polisterin dan botol minuman untuk dijadikan bekas untuk menanam pokok sayur jenis daun seperti sawi, kang­kung dan kailan.

“Selain memenuhi masa terluang, kami dapat makan sayur yang bebas daripada racun,” katanya yang menetap di perumahan Sungai Isap, Kuantan.

Beliau berkata, sokongan dan kerjasama yang diberikan Pejabat Pertanian daerah diharap dapat menjayakan program jom bertani membabitkan kawasan perumahan dan kampung di daerah ini.

Bagi Siti Noorhaifah Syeh Mohd Radzi, 26, berkata setiap hujung minggu dia meluangkan masa bercucuk tanam di kawasan rumah, selain menanam dalam pasu turut digunakan pelbagai bahan terbuang.

“Saya puas dan gembira apabila melihat pokok yang ditanam membesar, walaupun hanya aktiviti sambilan, namun kesan terhadap projek berkenaan begitu membanggakan.

“Sokongan yang diberikan keluarga menambahkan lagi minat saya terus menanam sayur terutama selepas mendapat khidmat nasihat daripada pegawai Pejabat Pertanian daerah,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/64132#sthash.tzeY4K6g.dpuf

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang