Nuffnang

Thursday 20 August 2015

Usahawan bumiputera masih takut kepada persaingan - INSKEN

KUALA LUMPUR: Malu untuk mencuba, kurang maklumat, dan bimbang kepada persaingan. Itu antara kekangan yang dihadapi oleh usahawan Bumiputera pada masa kini.

Namun apakah penyelesaian terbaik sekiranya persoalan asas masih membelenggu peniaga bumiputera untuk mengharungi dunia perniagaan yang mencabar?

Menurut Ketua Biskaunselor Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) 'Azra'i Shu'ib, antara halangan yang dihadapi adalah kurangnya ilmu asas perniagaan yang terhad dalam kalangan usahawan Bumiputera.

"Kebanyakan usahawan Bumiputera ini, mereka kekurangan maklumat. Jadi bila kekurangan maklumat, mereka tidak mempunyai satu tindakan yang baik untuk berdaya maju. Di antara mereka selalu menyatakan mereka mempunyai cabaran dari segi modal, sedangkan di luar sana, kita dah cukup agensi, cukup bantuan kerajaan, dalam memberi modal kepada mereka".

"Mereka juga kata mereka tidak mempunyai kepakaran, tidak mempunyai cukup kemahiran untuk membangunkan bisnes mereka. Tapi di luar sana telah ada agensi-agensi kerajaan, telah ada badan badan terlibat dalam membangunkan kapasiti dan keupayaan mereka,"tambah beliau.

Beliau juga tidak menafikan ada usahawan bumiputera yang masih takut kepada pesaingan dalam dunia perniagaan ini.


"Ini juga merupakan ciri-ciri keusahawanan di kalangan usahawan Bumiputera. Mereka masih ada lagi sifat-sifat malu untuk mencuba. Mereka masih lagi ada sifat di mana mereka takut kepada persaingan. Sedangkan sebenarnya jika mereka berjaya membangunkan perniagaan mereka, memenuhi ciri-ciri pemasaran dan standard produk, sebenarnya mereka masih boleh lagi bersaing dengan yang lain.

"Ini yang kami cuba terapkan dalam program ini di mana mereka perlu sedar bahawa keusahawan ini memerlukan ilmu. Ilmu bagaimana mahu meningkatkan kualiti, ilmu bagaimana mahu menyediakan produk dan barangan yang memberi saingan dan ilmu yang menyediakan barangan berkualiti tingg, " katanya ketika ditemui di Program Bumipreneurs of Tomorrow (BAHTERA) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.
 
Sebelum ini Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata Program BAHTERA merupakan platform 360 darjah untuk usahawan Bumiputera bersedia bukan sahaja untuk masa ini, tetapi untuk berdepan cabaran mendatang

Jelas beliau, ia bukan sahaja mengenai cerita modal semata-mata, tetapi BAHTERA menyediakan sokongan, memperkukuh maklumat perniagaan serta strategi penjenamaan.
 

10 kawasan bahaya di Bangkok, Duta Malaysia keluarkan amaran perjalanan



KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Thailand hari ini mengeluarkan amaran perjalanan kepada rakyat Malaysia yang merancang untuk ke Bangkok.

Amaran perjalanan itu dikeluarkan pihak kedutaan lanjutan daripada pengumuman tentera Thailand berhubung 10 kawasan berbahaya atau hotspots di Bangkok pada Rabu.

Bagaimanapun, Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain berkata adalah tidak sesuai untuk mengadakan sebarang aktiviti, melancong atau bercuti di Bangkok pada masa ini.

"Kalau boleh elakkan diri daripada berada di kawasan-kawasan yang dikenalpasti sebagai kawasan bahaya. Ini bukan kami yang tentukan, tetapi kerajaan Thailand yang memaklumkan kepada kami (kedutaan).

"Mungkin saya nak tekankan, kalau betul nak bercuti atau melancong, masa ini bukanlah masa yang paling sesuai," kata Nazirah ketika dihubungi Astro AWANI.

10 kawasan bahaya yang dikeluarkan pihak tentera Thailand adalah di Persimpangan Ratchaprasong, Persimpangan Pathumwan, Jalan Silom, Jalan Khao Shan, Persimpangan Narathiwas, Monumen Victory, Persimpangan Bangunan Duk Chai, Taman Benjasiri, Soi Thonglor dan Jalan Sukhumvit.

Beliau menambah, jika terdapat perkara penting yang telah dirancang seperti seminar atau persidangan, pihaknya tiada hak untuk mengeluarkan arahan larangan.

"Kita tahu, kalau ada mesyuarat penting, seminar yang telah dirancang, itu menjadi tanggungjawab penganjur untuk menjaga keselamatan semasa program diadakan," jelas Nazirah.

Mengulas berkenaan tahap kawalan keselamatan pada masa ini, Nazirah berkata pihak berkuasa Thailand telah meningkatkan kawalan keselamatan menerusi rondaan berkala serta penambahan anggota keselamatan di kawasan yang disenaraikan berbahaya.

Justeru, Nazirah mahu rakyat Malaysia yang telah merancang ke Bangkok supaya membuat pendaftaran menerusi laman web rasmi Kedutaan Malaysia di Thailand bagi memudahkan urusan pihak kedutaan jika terdapat sebarang kecemasan berlaku.

Letupan pada Isnin lalu di Kuil Erawan, dekat persimpangan Ratchaprasong telah meragut 20 nyawa, lima daripadanya warga Malaysia dan lebih 100 cedera. 
 

Polis tahan 10 suspek terlibat IS

KUALA LUMPUR: Polis menahan 10 suspek termasuk 2 wanita disyaki terlibat dengan aktiviti Kumpulan Militan, IS.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kesemua suspek ditahan dalam operasi serentak pada Rabu di Perlis, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Pada 19 Ogos 2015, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas telah melancarkan operasi serentak di di Perlis, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka yang membawa kepada penangkapan 10 suspek iaitu 8 lelaki dan 2 wanita kerana disyaki terlibat dalam aktiviti IS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua yang ditahan melibatkan enam anggota pasukan keselamatan, dua kakitangan jabatan kerajaan, seorang pereka dalaman, dan seorang guru tadika berumur antara 24 hingga 42 tahun.

Kesemua suspek ditahan dalam operasi serentak pada Rabu - Foto PDRM
 
Khalid berkata, mereka disyaki terlibat dalam aktiviti mempromosi ideologi, mengumpul dana dan mengatur pemergian rakyat Malaysia menyertai IS di Syria.

"Mereka juga disyaki merancang membeli senjata api untuk melancarkan serangan di Malaysia, membantu kemasukan suspek IS ke dalam negara serta merekrut anggota kumpulan militan itu," ujarnya.

Polis menahan 10 suspek termasuk 2 wanita disyaki terlibat dengan aktiviti Kumpulan Militan, IS - Foto PDRM
 
 Selain itu katanya, suspek tersebut juga dipercayai cuba menyembunyikan maklumat mengenai aktiviti IS di negara ini.
"Kesemua suspek ditahan di bawah BAB VIA- kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 547) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Lhas) 2012 (Akta 747)," jelas beliau. 
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang