Nuffnang

Friday 10 July 2015

Kadar bayaran zakat fitrah 2015 seluruh negeri

Berikut adalah kadar zakat fitrah untuk setiap individu seluruh negeri di Malaysia bagi tahun 2015 bersamaan 1436 Hijrah seperti mana yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri

Umat Islam dinasihatkan supaya memastikan mereka membayar zakat fitrah kepada amil yang mempunyai kad kuasa dan resit bayaran yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri

Sebaik-baiknya adalah menunaikan Zakat Fitrah di awal Ramadhan bagi membolehkan agihan kepada golongan yang layak disempurnakan sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri

Senarai kadar bayaran zakat fitrah yang disertakan ini adalah berdasarkan sumber rasmi dari Majlis Agama Islam di setiap negeri

   Negeri(RM) Tahun 2015(RM) Tahun 2014
Bendera Perlis Perlis6.506.50
Bendera Kedah Kedah7.007.00
Bendera Pulau Pinang Pulau Pinang7.007.00
Bendera Perak Perak7.007.00
Bendera Selangor Selangor7.007.00
Bendera Negeri Sembilan Negeri Sembilan6.506.50
Bendera Melaka Melaka6.706.70
Bendera Johor Johor* 5.00 / 8.00* 5.00/8.00
Bendera Pahang Pahang7.007.00
Bendera Terengganu Terengganu* 7.40 / 6.80 /4.60* 7.60/7.00/4.50
Bendera Kelantan Kelantan7.007.00
Bendera Sarawak Sarawak7.007.00
Bendera Sabah Sabah7.007.00
(WP) Bendera Kuala Lumpur Kuala Lumpur/Bendera Putrajaya Putrajaya/Bendera Labuan Labuan7.007.00
Nota: (*) Kategori kadar bayaran zakat fitrah di negeri Johor dan Terengganu adalah berdasarkan harga gred atau jenis beras yang dimakan


Pautan sumber : http://www.mysumber.com/kadar-bayaran-zakat-fitrah-2013-seluruh-negeri.html#ixzz3fYCoggV6

Hikmah Berzakat

Kesusahan, kepahitan dan kepayahan yang masih dirasai oleh segelintir masyarakat hari ini tidak seharusnya dipandang remeh oleh masyarakat Islam kini. Namun begitu adakah kepayahan yang dirasai oleh mereka dapat membawa seribu keinsafan kepada golongan yang kaya mengumpul harta kekayaan?. Kedukaan dan kesengsaraan yang mereka lalui seharusnya dijadikan pedoman dan panduan kepada kita dalam mengejar kemewahan hidup.

Keadaan setiap yang hidup di bumi Allah ini tidak sama gaya dan lagaknya. Belum pasti apa yang diinginkan dapat dikecapi. Lupa, alpa dan leka menghukum golongan yang susah ini hidup lebih melarat. Seharusnya masyarakat Islam ini sentiasa bersama dalam mengharungi hidup, ibarat kata pepatah "Yang Berat Sama Dipikul, Yang Ringan Sama Dijinjing". Dengan kesedaran ini secara tidak langsung kita dapat membantu meringan kan beban insan-insan yang amat memerlukan.

Hikmah yang terselindung disebalik pengeluaran zakat pastinya memberi kesedaran sekiranya direnung dengan hati yang ikhlas. Golongan fakir mempunyai jaminan dan haknya tidak lagi diabaikan begitu sahaja. Asnaf fakir kebiasaannya meminta daripada pemerintah, bukan daripada peribadi yang kaya demi memelihara kehormatan dan air mukanya. Ia juga didorong rasa malu untuk meminta-minta dan memelihara perasaan dan hatinya daripada terluka akibat daripada kata-kata yang menyakitkan.

Selain itu, kurang pengetahuan orang ramai dalam urusan agihan zakat menjadikan satu kesilapan pemahaman ke atas maklumat menyebabkan ramai di kalangan golongan kaya yang memberikan zakat kepada orang fakir miskin sahaja, sementara golongan lain yang berhak, dilupakan. Sesungguhnya zakat itu bukanlah khusus kepada asnaf fakir, miskin dan orang yang memperjuangkan agama sahaja, tetapi adalah lebih luas lagi yang berkait dengan kemaslahatan kaum muslimin seperti golongan mualaf, belenggu hutang dan hal-ehwal pendidikan.

Kemakmuran hasil langit dan bumi dengan keadilan pemerintahnya, menyebabkan orang-orang kaya menjadi susah untuk mencari orang miskin untuk diberikan zakat semasa zaman Khalifah Umar Abdul Aziz. Sepanjang tempoh itu, umat Islam sentiasa menjadi umat terbaik, bermaruah dan dihormati oleh lawan dan kawan. Seterusnya kemewahan hidup, kemudiannya melekakan umat Islam dari menegakkan tuntutan agama. Ketinggian ilmu yang memuncak telah membawa sebahagian umat Islam membuang masa dalam soal-soal remeh yang berakhir dengan perbalahan sesama sendiri dan akhirnya memusnahkan kegemilangan era pemerintahan kerajaan Uthmaniah.


Hukum Berzakat

Masyarakat hari ini kurang terdedah dengan apa yang dikatakan dengan zakat. Pembayaran atau pengeluaran zakat lebih dititikberatkan apabila tibanya bulan yang mulia iaitu Ramadan dan sebelum Syawal menjelang. Zakat fitrah yang dikutip oleh amil-amil di seluruh Malaysia menjadi satu lumrah yang ditunaikan oleh sebahagian besar umat islam.

Namun begitu, masyarakat kurang terdedah tentang pembayaran zakat selain daripada zakat fitrah iaitu zakat harta seperti zakat pendapatan, zakat saham, zakat emas dan perak, zakat wang simpanan, zakat pertanian, zakat KWSP, zakat perniagaan dan zakat ternakan.

Kutipan zakat-zakat harta ini dilakukan mengikut kiraan-kiraan yang telah ditetapkan. Tuntutan ke atas zakat harta seharusnya dititikberatkan kerana zakat harta merupakan tuntutan ke atas sebahagian harta yang perlu dikeluarkan untuk diagihkan kepada yang lebih berhak.

Budaya berzakat wajar disebatikan dalam jiwa setiap insan Muslim agar dana zakat dapat disalurkan kepada asnaf-asnaf yang ditetapkan di bawah hukum syarak dan seterusnya dapat membentuk penerimaan zakat yang akhirnya menjadi penyumbang zakat. Justeru itu, satu anjakan paradigma perlu dicetuskan dalam memastikan keberkesanan pengurusan zakat sama ada dari aspek agihan mahupun pungutan bersesuaian dengan era globalisasi dan dunia tanpa sempadan.


Syarat Zakat

PENGENALAN IBADAH ZAKAT

Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga. Ia telah difardukan mulai tahun kedua hijrah Rasulullah S.A.W. Dari segi bahasa, zakat diertikan sebagai '"tumbuh" dan "bertambah". Ianya juga bererti berkat, bersih, baik, suci dan subur. Menurut istilah syarak pula diertikan sebagai mengeluarkan kadar harta yang tertentu dan diberikan kepada golongan yang tertentu mengikut syarat - syarat yang tertentu yang telah ditetapkan oleh syarak.


DALIL

Maksudnya:-

" Ambilah sedekah (zakat) dari sebahagian harta benda mereka untuk membersih (batin dari sifat kikir) dan mensucikan mereka (daripada perasaan sombong dan doalah untuk mereka sesungguhnya doa pada hari itu memberikan ketenteraman untuk mereka dan Allah Maha Mendengar Lagi Mengetahui.) "

(Surah At-Taubah: Ayat 103)


Maksudnya:-
" Dan di dalam harta benda mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak memperolehi belanja hidupnya. "(Surah dzariyaat: Ayat 19)


SYARAT WAJIB ZAKAT

1. Islam - Zakat yang diwajibkan ke atas orang Islam.

2. Merdeka - Hamba abdi tidak wajib berzakat kecuali Zakat Fitrah. Walau bagaimanapun tidak timbul masalah hamba abdi masa kini tetapi syarat merdeka masih lagi dikekalkan sebagai satu syarat wajib.

3. Sempurna Milik - Milik sempurna bermaksud harta simpanan tersebut dimiliki dan dikawal sempurnanya oleh masa kini tetapi syarat merdeka masih lagi dikekalkan sebagai satu syarat wajib.

4. Cukup Nisab - Nisab adalah paras nilai minimum yang menentukan samada wajib atau tidak sesuatu harta dikeluarkan zakat. Pada ketika ini di Malaysia, nisab ditentukan berdasarkan nilai emas bersamaan dengan 85 gram iaitu bergantung kepada harga emas semasa.

5. Cukup Haul - Genap setahun harta itu disimpan iaitu 345 hari tahun Hijrah dan 365 hari bagi tahun Masehi.

Landasan Kewajipan Berzakat

TAKRIF :

Zakat adalah Rukun Islam ketiga yang diwajibkan di Madinah pada bulan Syawal tahun kedua hijrah yang telah diwajibkan puasa Ramadan dan Zakat Fitrah. Ayat-ayat zakat, sedekah dan infaq yang turun di Makkah baru berupa anjuran dan penyampaiannya menggunakan metodologi pujian bagi yang melaksanakannya dan cacian atau teguran bagi meninggalkannya.



Zakat tidak diwajibkan kepada semua Nabi dan Rasul, kerana zakat berfungsi sebagai alat pembersih kotoran dan dosa, sedangkan para Nabi dan Rasul terbebas dari dosa dan kemaksiatan kerana mereka mendapat jaminan penjagaan dari Allah S.W.T. Di samping itu kekayaan yang ada di tangan para Nabi adalah amanah Allah S.W.T. yang tidak dapat diwariskan.

Landasan kewajipan zakat disebutkan dalam Al-Quran, Sunnah dan Ijmak Ulama.

1. Al-Quran
Surah Al-Baqarah; ayat 43 yang bermaksud :

“Dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat dan rukuklah bersama dengan orang yang rukuk.

Surah At-Taubah ayat 103: Ertinya:

“Ambilah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan doakanlah mereka kerana sesungguhnya doamu dapat memberikan ketenangan bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.."

Tambahan lagi dalam Surah Al-An’aam; ayat 141 yang bermaksud :

"Makanlah buahnya jika telah berbuah dan tunaikan haknya (kewajipannya) pada hari memetik hasilnya ( dengan dikeluarkan zakatnya).."

2 . As-Sunnah

Rasulullah S.A.W bersabda yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar yang maksudnya :

"Islam dibina atas lima rukun : Syahadat tiada tuhan kecuali Allah dan Muhammad S.A.W utusan Allah, mendirikan sembahyang, membayar zakat , menunaikan puasa Ramadan dan haji .."


Hadis diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dari Ali R.A yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah mewajibkan ( zakat ) atas orang-orang kaya dari umat Islam pada harta mereka dengan batas sesuai kecukupan fuqara’ di antara mereka . Orang-orang fakir tidak akan kekurangan pada saat mereka lapar atau tidak berbaju kecuali kerana perilaku orang-orang kaya di antara mereka . Ingatlah bahawa Allah akan menghisab mereka dengan keras dan mengazab mereka dengan pedih.."


3. Ijmak
Ulama baik salaf (klasik) mahupun khalaf (mutakhir) telah sepakat akan kewajipan zakat dan bagi yang mengingkarinya bererti telah kafir dari Islam .



Zakat Pendapatan

TAKRIF :

Imbuhan atau perolehan yang diperolehi oleh individu daripada majikan atau individu itu sendiri sama ada pemberian dalam bentuk tenaga atau perkhidmatan professional atau fizikal dalam tempoh harian, bulanan atau tahunan yang boleh dikenakan zakat.

Pendapatan penggajian merangkumi :-
1) Gaji tahunan
2) Tunggakan gaji
3) Pelbagai elaun
4) Lain-lain ganjaran seperti bonus dan sebagainya


Firman Allah S.W.T. :



Maksudnya :
“ Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik,dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu, Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji. " (Surah Al-Baqarah : Ayat 267 )

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :
“ Tidak seorang pun yang bekerja untuk mendapatkan kekayaan dengan jalan yang haram kemudian ia membelanjakan padanya dengan harapan mendapat berkat daripadanya dan tidak bersedekah ia dengannya, dengan harapan ia akan diterima dan tidak pula ia tinggalkannya sebagai harta pusaka (sesusah ia meninggal) melainkan ia sebagai bekalannya ke Neraka. “ (Hadis riwayat Abu Daud)

KIRAAN ZAKAT PENDAPATAN

Kaedah 1
Menggunakan kaedah pendapatan kasar (Tanpa Tolakan) 2.5% atas jumlah pendapatan kasar setahun

Contohnya :
Jumlah pendapatan kasar setahun : RM 35,000.00
Jumlah yang dikenakan zakat (2.5%) : RM 875.00
Bayaran bulanan : RM 875.00 /12 = RM 72.92

Kaedah 2
Menggunakan kaedah pendapatan bersih ( Pendapatan Setahun ditolak perbelanjaan yang dibenarkan setahun) x 2.5%

Perbelanjaan yang dibenarkan tolakan (setahun) :-
Diri : RM 8,000.00
Isteri : RM 5,000.00
Anak : RM 1,000.00
KWSP : 11% daripada pendapatan kasar pekerja
Sumbangan IbuBapa : RM (jumlah yang diberi) sebulan x 12 bulan

Caruman ke organisasi yang membayar zakat ( contoh : Lembaga Tabung Haji, Takaful )

Zakat Perniagaan

TAKRIF :


Zakat yang dikeluarkan oleh sesuatu Perniagaan Persendirian (tunggal), Perkongsian, Syarikat Berhad, Syarikat Sendirian Berhad, Koperasi dan persatuan yang genap setahun operasi perniagaan dan cukup haulnya.

DALIL :
Firman Allah s.w.t :

Maksudnya : 

" Ibadat itu dikerjakan oleh orang-orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat ; mereka takutkan hari (kiamat), yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan." (Surah An Nur : 37)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

" Bahawasanya Rasulullah s.a.w menggesa kami supaya mengeluarkan zakat ke atas barang yang kami sediakan untuk dijual. "

(Hadis Riwayat Abu Daud dari Jundap r.a)

KIRAAN ZAKAT PERNIAGAAN

[ (Aset Semasa - Tanggungan Semasa)± Pelarasan x Peratusan Pemilikan Saham Orang Islam (%) x KADAR ZAKAT (2.5%) ].

Zakat Fitrah








Pendahuluan 
Zakat Fitrah merupakan kewajipan fardhu ain ke atas setiap orang Islam. Kewajipan yang dilaksanakan di bulan Ramadhan ini bertujuan membersih dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan seterusnya bayaran fitrah tersebut dapat digunakan untuk membantu fakir dan miskin membuat persiapan menyambut Hari Raya.

Inilah di antara keindahan Islam di sebalik pensyariatan sesuatu ibadah kepada penganutnya. Sesungguhnya peranan zakat dalam membina sosio ekonomi dan sosial masyarakat Islam amatlah penting dan mesti dihayati sepenuhnya oleh setiap muslim.


Kefardhuan Zakat Fitrah 

Takrif Zakat Fitrah
Zakat dari segi bahasa bermaksud bersih, suci, subur dan berkembang.Zakat Fitrah bermaksud zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim lelaki dan perempuan dalam bulan Ramadhan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Zakat Fitrah difardhukan pada tahun kedua hijriah iaitu pada tahun yang sama difardhukan kewajipan puasa Ramadhan.

Dalil- dalil yang menunjukkan kewajipan ini adalah sebagaimana ayat Al Quran dan hadith-hadith berikut :

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 43 :

Maksudnya : Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan rukuklah kamu bersama-sama orang yang rukuk.

Daripada Ibnu Umar : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memfardhukan Zakat Fitrah pada bulan Ramadhan dengan kadar satu gantang daripada tamar atau satu gantang daripada gandum ke atas setiap yang merdeka dan hamba, lelaki dan perempuan di kalangan orang-orang Islam.

Daripada Ibn Said berkata : Sesungguhnya kami mengeluarkan zakat fitrah pada masa kami bersama Rasulullah s.a.w satu gantang daripada makanan atau satu gantang daripada kurma atau satu gantang daripada gandum atau satu gantang daripada anggur kering atau satu gantang daripada susu masam. Dan aku mengeluarkan zakat ini sebagaimana aku mengeluarkannya sebelum ini.

Daripada Ibn Abbas berkata : Rasulullah s.a.w memfardhukan zakat fitrah supaya dengannya membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan … dan memberi makan kepada orang-orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya (zakat fitrah) sebelum solat hari raya maka ia adalah zakat yang diterima dan barangsiapa yang menunaikannya selepas solat hari raya maka ia adalah sedeqah seperti sedeqah-sedeqah yang lain.

Hukum Zakat Fitrah
Mengeluarkan Zakat Fitrah hukumnya adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang merdeka dan mampu mengeluarkannya pada waktunya.Orang Islam adalah meliputi golongan tua dan muda, lelaki atau perempuan dan berakal atau tidak.



Fadhilat Mengeluarkan Zakat Fitrah

1. Menampung kekurangan semasa berpuasa.

Maksudnya : Berkata Waki’ bin al Jarah : Zakat Fitrah di dalam bulan Ramadhan seperti sujud sahwi di dalam solat, menampung kekurangan berpuasa sebagaimana sujud sahwi menampung kekurangan dalam sembahyang.

2. Membantu fakir dan miskin pada Hari Raya.

Maksudnya : Daripada Ibn Umar, bersabda Rasulullah s.a.w : Kayakanlah mereka (fakir miskin) daripada meminta-minta pada hari ini (Hari Raya).



Syarat- Syarat Wajib Zakat Fitrah

1. Islam dan merdeka.

2. Mempunyai harta yang lebih daripada keperluan perbelanjaannya untuk dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya pada hari raya dan malamnya.

3. Wajib Zakat Fitrah ialah apabila terbenam matahari pada akhir Ramadhan.



Sehubungan itu tidak wajib zakat Fitrah ke atas orang-orang berikut:

1. Orang yang mati sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

2. Anak yang lahir selepas terbenam akhir Ramadhan.

3. Orang yang memeluk agama Islam sesudah terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

4. Tanggungan isteri yang dinikahi selepas terbenam matahari pada akhir Ramadhan.



Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

1. Waktu Harus – iaitu bermula dari awal bulan Ramadhan sehingga akhir bulan Ramadhan.

2. Waktu Wajib – iaitu selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.

3. Waktu Afdhal – iaitu selepas solat Subuh pada hari akhir Ramadhan sehingga sebelum mengerjakan
sembahyang sunat Aidil Fitri.

4. Waktu Makruh – iaitu selepas sembahyang sunat Aidil Fitri sehingga sebelum terbenam matahari.

5. Waktu Haram – iaitu selepas terbenam matahari pada hari raya Aidil Fitri.



Jenis Dan Kadar Bayaran Zakat Fitrah

1. Jenis zakat yang dikeluarkan ialah berdasarkan makanan asasi sesebuah negeri seperti beras.

2. Kadar yang dikeluarkan ialah satu gantang Baghdad bersamaan timbangan metrik 2.60 kilogram (2600 gram).

3. Nilai bagi kadar ini adalah berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada harga beras yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di sesebuah negeri.

Lafaz Akad Zakat Fitrah
1. Lafaz untuk diri sendiri:
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas diriku pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.

2. Lafaz untuk diri sendiri dan tanggungan:
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas diriku dan tanggunganku pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.

3. Lafaz bagi pihak:
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas pihak yang aku wakili …… pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang