Nuffnang

Thursday 23 July 2015

Sumpahan RM10


MUNGKIN ia dianggap mengarut. Namun, insiden terbaru membabitkan kebakaran di bahagian gerabak tren Transit Aliran Ringan (LRT) dalam dua kejadian berbeza iaitu di stesen Setiawangsa dan Universiti seakan melengkapkan ramalan dan spekulasi yang didakwa segelintir pengguna media sosial sebelum ini.

Pengguna media sosial mula menjadi ‘tukang tilik’ susulan insiden sebuah kapal dagang Malaysia, MT Orkim Harmony yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Pelabuhan Kuantan, Pahang sebulan lalu dengan mengaitkan paparan gambar pada duit kertas sepuluh ringgit.

Berdasarkan paparan imej pada duit kertas tersebut, beberapa lambang kemajuan negara ditonjolkan pada duit kertas itu seperti imej kapal terbang komersial, kapal, keretapi disamping logo lain yang mencerminkan budaya di Malaysia.

Namun, ekoran beberapa insiden besar menimpa negara dan ditambah dengan keadaan politik serta kerajaan yang dilihat sedang dalam kemelut, satu persatu insiden besar dikaitkan dengan paparan imej di duit kertas berkenaan.

Sebagai imbasan kembali, ia bermula dengan insiden misteri berlaku pada Mac 2014 membabitkan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dimana sehingga kini masih lagi tiada jawapan ke mana perginya pesawat itu.

Tidak berakhir disitu, negara sekali lagi digegarkan dengan insiden nahas pesawat MAS, MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine.

Kontroversi dalam kalangan pengguna media sosial terus diperkukuhkan lagi ekoran kehilangan MT Orkim Harmony sehingga kepada tragedi terbaru membabitkan kebakaran tren LRT.

Namun, ramalan berkenaan tidak boleh diterima bulat-bulat, mungkin ia hanya sekadar kebetulan. Bagaimanapun, tidak mustahil ramalan boleh menjadi realiti sekiranya tindakan serius terhadap apa yang berlaku tidak diambil.

Sebagai renungan, apa kata kita mengharapkan pula orang ramai meramalkan supaya nilai ‘mata wang’ negara kembali pulih kerana itu dilihat lebih penting untuk rakyat dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang