Nuffnang

Thursday 13 August 2015

AirAsia tegas tidak akan berpindah ke Terminal 1 KKIA

KUALA LUMPUR: AirAsia Berhad sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk tidak berpindah ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat, Tan Sri Tony Fernandes berkata hal ini adalah kerana cukai lapangan terbang akan meningkat dan ini tidak akan membantu meningkatkan tahap kompetitif pelancongan Sabah.

Syarikat penerbangan tambang murah itu menyatakan pemindahan ke Terminal 1 akan mengakibatkan caj penumpang naik dari RM32 kepada RM65 seorang bagi penumpang antarabangsa.

"Pemindahan ke Terminal 1 akan meningkatkan kos penumpang. Persaingan di peringkat serantau adalah besar. Jika berpindah ke Terminal 1 dan menaikkan cukai lapangan terbang kepada RM35, ini akan membunuh sektor pelancongan," kata beliau di sini hari ini.

Selain itu kesesakan pesawat didakwa akan turut berlaku sekiranya syarikat penerbangan itu berpindah ke terminal tersebut.

Fernandes menambah AirAsia tidak akan mengulangi kesilapan yang dilakukannya sebelum ini apabila ia dipaksa berpindah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan kini lapangan terbang itu turut berdepan masalah serius.

Beliau mendakwa penyelenggaraan Terminal 2 tidak dilakukan dengan baik memaksa syarikat itu berpindah ke Terminal 1.

AirAsia pada masa sama menggesa Kementerian Pengangkutan mempertimbangkan keahlian Lembaga Pengarah agar isu KKIA diadili secara adil dengan mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak.

"Saya menggesa Kementerian Pengangkutan untuk tidak meletakkan Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian dalam Lembaga Pengarah MAHB, kerana mereka hanya akan dapat cerita dari sebelah pihak. Mereka sepatutnya mendengar dari kedua-dua pihak dan membuat keputusan terbaik untuk kebaikan negara," tegas beliau.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi menegaskan, semua syarikat penerbangan termasuk AirAsia yang mahu kekal beroperasi di Terminal 2 telah diarah berpindah ke Terminal 1 sejak 1 Ogos lalu.

Pemindahan tersebut, menurut Ab Aziz, harus dilakukan dalam masa terdekat bagi menampung lebih ramai penumpang dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, Fernandes juga merayu MAHB agar berbincang cara terbaik untuk meningkatkan pertumbuhan industri pelancongan melalui penerbangan tambang rendah.

Menurutnya, AirAsia ingin terus mencipta pekerjaan dan memastikan industri penerbangan tambang rendah terus berkembang.

"Kami tidak mahu sebarang konfrontasi, kami mahu jadi juara dan kami mahu Malaysia jadi juara. Kami mahu mencipta pekerjaan. Saya rasa kita perlu duduk bersama untuk cari penyelesaian.

"Ringgit mencecah nilai RM4, jadi lebih baik kita fokus kepada ekonomi berbanding memaksa penerbangan tambang rendah terbesar Asia berpindah, dan hasilnya banyak yang akan kehilangan pekerjaan," tegasnya.

Tambahnya, pihak berkuasa serantau lain termasuk Singapura, Indonesia, Filipina dan Thailand bekerjasama dengan AirAsia bagi membawa masuk lebih banyak trafik.


"Semua negara di ASEAN mendengar AirAsia, dan bekerja dengan AirAsia untuk mencipta pekerjaan. Mengapa MAHB tidak berhubung dengan kami?" ujar Fernandes.

Katanya, antara langkah yang diambil oleh kerajaan Indonesia termasuk mengurangkan cukai lapangan terbang dan bekerjasama dengan AirAsia bagi meningkatkan jumlah penumpang.

Selain itu, kerajaan Thailand juga katanya turut memindahkan segala operasinya dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi ke Don Muaeng bagi menyokong pertumbuhan penerbangan tambang rendah.

Kejatuhan nilai ringgit terburuk fenomena antarabangsa

KUALA LUMPUR: Kejatuhan nilai ringgit terburuk dalam tempoh lima tahun disifatkan fenomena antarabangsa berikutan hampir semua matawang negara pesat membangun mengalami kejatuhan berbanding dolar.

Menurut Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew, kebanyakan matawang dunia jatuh berbanding dolar berikutan pandangan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan menaikan kadar faedah dalam tempoh terdekat.

"Justeru, banyak tunai mengalir ke Amerika dan mengukuhkan nilai dolar," menurut Teng Siew ketika dihubungi Astro Awani, di sini baru-baru ini.

"Jika dilihat bandingan matawang dunia, 174 matawang dunia, hanya 18 matawang yang mengukuh berbanding Dolar. Kelemahan Ringgit perlu dilihat sebahagian dari kitaran pengukuhan dolar", katanya.

Beliau berkata kejatuhan ringgit juga boleh dikaitkan dengan kelemahan harga minyak mentah global yang ketika ini belum menunjukan tanda pemulihan.

"Kita tidak boleh anggap harga minyak akan kekal rendah selamanya. Ia kitaran lemah yang masih boleh pulih dan tidak perlu terlalu bimbang. Ia sementara dan saya percaya ia akan kembali pulih dalam tempoh tertentu."

Menurutnya lagi, ringgit diramal stabil kembali dalam tempoh tiga ke enam bulan selepas harga minyak kembali pulih.


Ringgit jatuh keparas RM3.51 berbanding dolar pagi Jumaat, terburuk sejak September 2009 dengan harga US$80 setong. Pada Isnin, harga minyak mentah pasaran Brent jatuh di bawah paras US$55.66 setong.

Fenomena ini menimbulkan kegusaran dikalangan pelabur dan pedagang bahawa pendapatan Malaysia akan terjejas sekaligus memberi sentimen negatif.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang