Nuffnang

Saturday 22 August 2015

Kebun herba di balkoni

Foto

Menjadikan balkoni sebagai ruang paling bermanfaat untuk berkebun dan mendalami dunia herba membuatkan pemiliknya kini mampu tersenyum puas.

Berkeluasan 63 kaki persegi, ruang yang ada itu bukan lagi menjadi lokasi menikmati pemandangan semata-mata kerana kehijauan kebun turut menarik perhatian.

Foto

Segalanya tidak mustahil buat Masliza Maaris, 38, yang menzahirkan kecintaannya terhadap dunia sayur-sayuran dan herba pada ruang terhad itu.

Pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu menanam sayur dan herba sejak pertengahan tahun lalu selain menjadikan aktiviti itu hobi di kediamannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Foto
Kini, anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan itu berbangga apabila tanamannya beberapa kali membuahkan hasil.

“Berkebun di balkoni memberikan cabaran tersendiri dengan ruang yang terhad. Bagi mengatasi masalah itu, saya gemar menanam dalam bentuk kebun vertikal atau ‘vertical gardening.’

“Bekas penyimpan plastik dijadikan pasu dan uniknya ia mempunyai banyak lubang.

“Jika terdapat lebih anak pokok, saya boleh terus menanamnya di salah satu lubang berkenaan,” katanya.

Malah, dia turut menggunakan poket menyimpan barang bertingkat terpakai untuk menanam herba yang disangkut pada dinding balkoni. 

Di sepanjang pagar balkoni pula, dia menggantung pasu daripada botol terpakai dengan memuatkan pelbagai tanaman termasuk cili, terung dan kacang panjang.

Sebaik disiram, air membasahi tanaman di bahagian bawah dan kaedah ini mewujudkan suasana bersih atau tidak mengganggu balkoni kediaman orang lain.

Bagi tanaman sayur yang mudah hidup seperti pokok kari dan pucuk manis, ia ditanam dalam pasu sama bagi menjimatkan ruang.

“Saya bersemangat memikirkan berapa jenis pokok yang dapat ditanam pada balkoni ini.

“Ini kerana saya perlu memikirkan secara strategik kedudukan setiap jenis pokok sayur bergantung kepada sifat dan rupa fizikal pokok. 

“Tanaman melilit seperti timun dan kacang panjang umpamanya sesuai di tanam di tepi balkoni bagi melancar tumbesaran lilitan dengan sokongan pagar balkoni,” katanya.

Tanaman yang mempunyai dahan rimbun seperti tomato amat sesuai ditanam di sudut itu untuk mendapatkan cahaya matahari secukupnya. 

Ini membolehkan balkoni menjadi lebih lapang dan tidak semak. Sementara sinaran matahari penting menentukan fungsi sudut tertentu di balkoni. 

Ruang yang kurang menerima sinaran matahari lebih sesuai dijadikan tempat menyemai biji benih.

Berbanding menanam pokok bunga yang memerlukan pasu yang cantik untuk menambahkan gaya laman, menanam sayur-sayuran tidak memerlukan perbelanjaan besar.

Dalam bekas pelbagai guna pun, ia sesuai ditanam. Cukup sekadar mampu menampung tanah, pokok dan mempunyai pengaliran air yang sempurna.

“Di balkoni ini, saya hanya menggunakan balang plastik menyimpan kuih raya dan botol plastik untuk menanam sayur.

“Bekas-bekas ini ditebuk lubang di bahagian bawah sebelum diisi dengan tanah untuk ditanam sayur. Bekas yang besar digunakan sebagai pasu, sementara bekas kecil dijadikan tempat semaian benih,” katanya.

Hakikatnya, dia bermula dengan tanaman seperti timun, tomato, petola, cili, kacang panjang dan beberapa pokok ulam termasuk seperti pegaga, selasih, ketumbar dan pudina. 

Apabila tanaman itu matang dan mengeluarkan hasil, saya menanam lebih banyak sayur-sayuran dan buah seperti limau purut, limau kasturi, pokok kari, petola, bendi, jagung manis, daun pandan, kalian dan bayam.

Jika dulu benih sayur dan anak pokok di beli secara dalam talian atau di nurseri, Kini Masliza menggunakan benih sendiri yang disemai.

Menariknya, hobi itu turut dikongsi suami Mohd Faiz Abdul Razak, 36 dan tiga cahaya mata iaitu Amirul Hakimi, 10, Arman Adham, 7 dan Adlan Iman, 4.


Panduan berkebun di balkoni mengikut pengalaman Masliza.
  • Pastikan kedudukan pancaran matahari di balkoni. Ruang yang banyak menerima cahaya semula jadi itu sesuai dijadikan ruang bercucuk tanam.
  • Ketahui sifat tanaman sayur yang ingin ditanam. Adakah tanaman itu perlu sokongan pancang, air yang banyak atau ‘dikahwinkan’ secara manual antara bunga betina dan jantan.
  • Bagi yang baru memulakan hobi berkebun di balkoni, cukup sekadar bermula dengan dua atau tiga pokok. Ramai suka dengan idea mempunyai kebun balkoni tetapi tidak mampu memberi komitmen dalam menjaga tanaman itu.
  • Digalakkan membabitkan diri dalam forum, komuniti, blog atau Facebook di media sosial untuk mendapatkan panduan berkenaan tanaman.
  • Jangan putus asa jika pokok yang ditanam tidak menjadi atau diserang serangga.
  • Babitkan ahli keluarga yang lain dalam rutin penjagaan kebun balkoni dan jadikannya aktiviti bersama.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang