Nuffnang

Tuesday 18 August 2015

Pesawat Trigana terhempas bawa wang tunai RM1.92 juta

JAKARTA: Pesawat Trigana Air yang dipercayai terhempas bersama 54 penumpang dan anak kapal di sebuah kawasan pergunungan di Papua, semalam dilaporkan membawa wang tunai berjumlah Rp6.5 bilion (RM1.92 juta).
Laporan Kompas.com memetik Ketua Pejabat Pos Jayapura, FX Haryono sebagai berkata wang itu adalah peruntukan kerajaan untuk diagihkan kepada penduduk miskin di kawasan Papua sebagai bayaran ganti rugi ekoran kenaikan harga petrol, baru-baru ini.

"Wang tersebut dibawa oleh empat pegawai pos Jayapura dan sepatutnya dibayar kepada penduduk miskin di lapan buah daerah di sana, hari ini," katanya kepada wartawan di kem pencarian di Jayapura, hari ini.

Menurut Haryono lagi, empat pegawai pos yang menghantar wang ganti rugi ke kawasan Pergunungan Bintang itu ialah MN Aragae, Agustinus Luanmasse, Yustinus Huruluen dan Teguh Sane.

Pesawat Trigana Air yang dalam penerbangan ke Oksibil, Papua terputus hubungan dengan menara kawalan selepas berlepas pada 2.22 petang dari Jayapura.

Pesawat itu sepatutnya tiba di destinasi pada 3.04 waktu tempatan.

Sementara itu, Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia, memaklumkan pihaknya telah menemukan serpihan pesawat Trigana di kawasan tebing pergunungan di daerah Oktabe, Papua.

"Lokasi tersebut berada tujuh batu nautika atau 14 kilometer dari Lapangan Terbang Oksibil," kata Penolong Pegawai Operasi Basarnas, Mejar Jeneral Heronimus Guru.

Beliau berkata penemuan itu adalah berdasarkan pemantauan visual oleh tiga pesawat yang terbang merentasi lokasi kejadian.

Menurut Heronimus, pasukan mencari dan menyelamat juga yakin serpihan itu bangkai pesawat Trigana berdasarkan jalur laluan dan isyarat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang