Nuffnang

Wednesday, 19 August 2015

Pameran Matta: MAS tawar diskaun 30-50 peratus

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) akan menawarkan diskaun antara 30 dan 50 peratus bagi tiket yang dibeli semasa Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) September ini.

Pengurus Kanan Jualan Serantau MAS, Kathleen Leong berkata diskaun ditawarkan untuk semua destinasi MAS.

"Saluran pengedaran kami adalah menerusi ejen di pesta itu, agensi pelancongan yang kami lantik di seluruh negara serta menerusi laman sesawang kami," katanya pada sidang media mengenai Pameran Matta, di sini hari ini.

Acara tiga hari itu akan berlangsung bermula 4 Sept di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Beliau berkata MAS juga akan menyumbang 10 tiket penerbangan pergi balik ke destinasi seperti London, Paris, Tokyo, Seoul, Bangkok dan Hong Kong kepada pemenang Peraduan Pembeli Pameran Matta.

Peraduan terbuka kepada mereka yang membeli pakej pelancongan pada harga minimum RM300.

Leong berkata MAS menyifatkan pameran itu yang lazim diadakan pada Mac dan September sebagai antara acara utama disebabkan ia menjana pendapatan yang besar.

"Semasa pameran ini kami tawarkan pakej menarik dan itulah cara kami merangsang pendapatan kami dan ia hanya untuk tempoh tertentu," katanya.

Beliau juga berkata jika Matta menumpukan kepada pembeli tempatan, MAS lazimnya turut menawarkan promosi kepada pembeli dari seberang laut terutama dengan kelembapan ringgit sekarang.

Leong berkata MAS yang tidak pernah terlepas daripada menyertai pameran itu dijangka terus terlibat dalam usaha promosi sedemikian selepas penstrukturan semula syarikat.

"Semua berjalan seperti biasa bagi MAS. Tidak ada perubahan drastik kecuali tempat bekerja kerana kami berpindah dari Subang ke pejabat baharu di Sepang," katanya.

Leong berkata pengurusan baharu di bawah Malaysia Airlines Bhd (MAB) telah menggariskan strategi perniagaan namun masih terlalu awal untuk dikongsi memandangkan sekarang ia dalam tempoh peralihan.

Peralihan daripada MAS kepada MAB merupakan komponen utama dalam Pelan Pemulihan MAS yang menggariskan 12 perkara utama.

Pelan itu diumum oleh syarikat induknya Khazanah Nasional Bhd pada 29 Ogos 2014 bagi menstruktur semula syarikat penerbangan negara tersebut yang akan meletakkannya di landasan ke arah keuntungan mampan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang