Nuffnang

Friday 21 August 2015

Makmal dadah hasil syabu RM15j diserbu

BUKIT MERTAJAM 21 Ogos - Pasukan Khas Taktikal Pe­risikan Narkotik (STING) Bukit Aman sekali lagi berjaya membongkar makmal dadah di negeri ini dan merampas cecair syabu bernilai kira-kira RM15 juta.

Khalid Abu Bakar

Dalam serbuan terbaru, bertindak hasil intipan dan risikan, pasukan STING berkenaan menyerbu sebuah rumah di sini, kira-kira pukul 1 pagi ini dan menahan lima lelaki termasuk dua warga Iran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter miliknya mengesahkan penahanan itu dan memberitahu, sebanyak 324 ki­logram (kg) cecair syabu berjaya dirampas dalam serbuan tersebut.

“Syabas STING @PDRMSIA berjaya bongkar makmal haram di BM Pulau Pinang. Rampas 324 kg cecair syabu bernilai lebih RM15 juta.
“Tangkap lima orang termasuk dua Iran, Go PDRM Go,” ujar Khalid.

Sementara itu, sumber polis berkata, selain cecair syabu, polis turut merampas sejumlah wang tunai dalam serbuan terbabit.

Katanya, sindiket itu dipercayai didalangi warga asing dan cecair syabu berkenaan juga difahamkan dibawa da­ri luar negara.

Tambah sumber ber­kenaan, sindiket itu juga dipercayai berpindah dari satu tempat ke tempat lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Lima lelaki berusia 20 hingga 50 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan dan polis juga sedang mengesan beberapa lagi anggota sindiket berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, sidang akhbar mengenai kejayaan serbuan tersebut akan diadakan di Kontinjen Polis Pulau Pinang di sini, Ahad ini oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mokhtar Shariff.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang