Nuffnang

Tuesday 28 July 2015

‘Keputusan amat sukar’



Kuala Lumpur: Selepas beberapa kali spekulasi berkaitan rombakan kabinet diperkatakan, ia berlaku petang tadi apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin digantikan dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga kekal sebagai Menteri Dalam Negeri.

Empat Menteri dan seorang Timbalan Menteri turut digugurkan dalam sidang media khas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, petang tadi.

Najib berkata, rombakan kabinet termasuk pertukaran portfolio Menteri dibuat selepas mengambil kira kepentingan politik dan pentadbiran.

Beliau berkata, ini bagi memastikan pentadbiran di bawah beliau terus komited, sentiasa fokus kepada usaha pembangunan negara sebagaimana yang sudah dijanjikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

"Bagi tujuan ini, Jemaah Menteri perlu bertindak sebagai satu pasukan yang jitu dalam apa jua keadaan, melangsungkan agenda pembangunan negara serta menguruskan isu negara yang berbangkit supaya dapat bertindak dengan berkesan.

"Saya boleh menerima perbezaan pendapat dan kritikan sebagai sebahagian daripada proses dalam membuat keputusan, namun sebagai anggota kabinet perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan terhadap kerajaan dan negara,"katanya.

Najib berkata, keputusan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin satu keputusan amat sukar, tetapi terpaksa dilakukan supaya Jemaah Menteri dapat bergerak dalam satu pasukan yang jitu.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas khidmat bakti yang dicurahkan Tan Sri Muhyiddin, begitu juga menteri dan timbalan menteri yang kini tidak lagi bersama saya dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

Selain Muhyiddin, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digugurkan diganti dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek digugurkan, diganti Datuk Hamzah Zainuddin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin digugurkan, diganti dengan Datuk Wilfred Madius Tangau.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel digugurkan, diganti dengan Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Rahim Abu Bakar digugurkan, diganti dengan Datuk Mohd Johari Baharum.
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang