Nuffnang

Friday 7 November 2014

Tipu bida punca 
harga tender naik

KUCHING 4 Nov. - Kerajaan memandang serius gejala penipuan bida kerana amalan itu dikenal pasti sebagai punca meningkatnya harga tender antara 12 hingga 15 peratus di negara ini.


Menteri Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, amalan tersebut merupakan kesalahan besar di bawah Seksyen 4(2)(d) Akta Persaingan 2010 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga 10 peratus daripada nilai pusingan sedunia perusahaan berkenaan.

Katanya, perbuatan itu juga boleh menyebabkan pembaziran dan ketirisan apabila perolehan barangan, perkhidmatan serta pekerjaan yang dibayar lebih daripada harga pasaran tetapi tidak digunakan sepenuhnya atau tidak menepati piawaian.

“Justeru, kita menyeru semua pihak termasuk orang awam supaya memberi kerjasama kepada kerajaan dengan menyalurkan maklumat sekiranya berlakunya penipuan bida kerana perbuatan tersebut sukar dikesan.

“Amalan sebegini merupakan ancaman besar terutama kepada institusi awam kerana kebanyakan kes penipuan bida melibatkan projek yang memerlukan pelaburan kos dan teknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Menentang Tipuan Bida Dalam Perolehan Awam dan buku Bantu Kami Kenal Pasti Tipuan Bida, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Stanley Tan.

Program advokasi anjuran MyCC itu dihadiri oleh 150 pegawai perolehan dari pelbagai agensi kerajaan.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, kerajaan menekankan akauntabiliti dan ketelusan dalam perolehan atau tender diuruskan yang melibatkan dana awam.

“Sepatutnya jika perolehan dikelolakan dengan betul, penjimatan yang didapati boleh disalurkan kepada projek lain.

“Kualiti barangan atau perkhidmatan juga boleh terjejas kerana tender tidak dijalankan oleh pembida yang paling efisien dan berkemahiran,” katanya.

Untuk itu, tegas beliau, mana-mana perolehan awam perlu mengikut lima prinsip utama iaitu akaun­tabiliti awam, pengurusan secara telus, nilai faedah yang terbaik, saingan terbuka serta adil dan saksama.

Dalam pada itu, orang ramai boleh memuat naik secara percuma dua buku yang dilancarkan pada Jun lalu daripada laman web www.mycc.gov.my dan sebarang pertanyaan boleh emel kepada spiad@mycc.gov.my.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang