Nuffnang

Showing posts with label Malaysia Airlines. Show all posts
Showing posts with label Malaysia Airlines. Show all posts

Wednesday, 19 August 2015

MH17: Sebarang penemuan terkini dimuat dalam laporan akhir pada Oktober

SHAH ALAM: Semua perkembangan terkini dalam siasatan kes pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine adalah petunjuk penting yang akan dikumpul dalam laporan teknikal penuh pada Oktober nanti.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini sewaktu diminta mengulas laporan AFP semalam yang menyatakan kumpulan penyiasat antarabangsa telah mengenal pasti serpihan daripada sistem peluru berpandu darat-ke-udara BUK di tapak nahas.

"Semua maklumat dan penemuan sebegitu akan dimuatkan dalam laporan teknikal penuh pada Oktober nanti.

"Sejurus ia dibuat dan mengikut ketetapan dalam Lampiran ke-13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), kita berharap akan dapat mengetahui apa yang sebenarnya dijumpai di timur Ukraine dan butiran punca nahas," kata beliau.

Menurutnya, semua pihak tahu bahawa pesawat itu telah dihentam dengan objek bertenaga tinggi namun laporan penuh akan memberi jawapan terperinci mengenainya.

"Masih terlalu awal untuk mengesahkan apa-apa dan laporan belum ada pada saya.

"Kita tidak boleh berspekulasi tentang jenis peluru berpandu atau siapa pemiliknya. Kita tunggu saja laporan akhir pada Oktober," ujar beliau ketika ditemui media selepas beliau perasmian Pusat 4S Glenmarie Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd di Temasya Industrial Park di sini.

Pasukan penyiasat dalam kes tersebut memberitahu bahawa mereka telah mengenal pasti serpihan yang 'dipercayai' datang daripada peluru berpandu darat-ke-udara BUK buatan Rusia di timur Ukraine, tempat pesawat MH17 ditembak jatuh.


Pesawat MH17 telah ditembak jatuh pada 17 Julai tahun lalu hingga mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal sewaktu melintasi ruang udara kawasan konflik peperangan antara tentera Kiev dan pejuang pemisah pro-Rusia.

Pameran Matta: MAS tawar diskaun 30-50 peratus

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) akan menawarkan diskaun antara 30 dan 50 peratus bagi tiket yang dibeli semasa Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) September ini.

Pengurus Kanan Jualan Serantau MAS, Kathleen Leong berkata diskaun ditawarkan untuk semua destinasi MAS.

"Saluran pengedaran kami adalah menerusi ejen di pesta itu, agensi pelancongan yang kami lantik di seluruh negara serta menerusi laman sesawang kami," katanya pada sidang media mengenai Pameran Matta, di sini hari ini.

Acara tiga hari itu akan berlangsung bermula 4 Sept di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Beliau berkata MAS juga akan menyumbang 10 tiket penerbangan pergi balik ke destinasi seperti London, Paris, Tokyo, Seoul, Bangkok dan Hong Kong kepada pemenang Peraduan Pembeli Pameran Matta.

Peraduan terbuka kepada mereka yang membeli pakej pelancongan pada harga minimum RM300.

Leong berkata MAS menyifatkan pameran itu yang lazim diadakan pada Mac dan September sebagai antara acara utama disebabkan ia menjana pendapatan yang besar.

"Semasa pameran ini kami tawarkan pakej menarik dan itulah cara kami merangsang pendapatan kami dan ia hanya untuk tempoh tertentu," katanya.

Beliau juga berkata jika Matta menumpukan kepada pembeli tempatan, MAS lazimnya turut menawarkan promosi kepada pembeli dari seberang laut terutama dengan kelembapan ringgit sekarang.

Leong berkata MAS yang tidak pernah terlepas daripada menyertai pameran itu dijangka terus terlibat dalam usaha promosi sedemikian selepas penstrukturan semula syarikat.

"Semua berjalan seperti biasa bagi MAS. Tidak ada perubahan drastik kecuali tempat bekerja kerana kami berpindah dari Subang ke pejabat baharu di Sepang," katanya.

Leong berkata pengurusan baharu di bawah Malaysia Airlines Bhd (MAB) telah menggariskan strategi perniagaan namun masih terlalu awal untuk dikongsi memandangkan sekarang ia dalam tempoh peralihan.

Peralihan daripada MAS kepada MAB merupakan komponen utama dalam Pelan Pemulihan MAS yang menggariskan 12 perkara utama.

Pelan itu diumum oleh syarikat induknya Khazanah Nasional Bhd pada 29 Ogos 2014 bagi menstruktur semula syarikat penerbangan negara tersebut yang akan meletakkannya di landasan ke arah keuntungan mampan.

Saturday, 15 August 2015

Siar karikatur tragedi MH370, majalah Perancis tidak beretika

KUALA LUMPUR: Anak sulung Andrew Nari, ketua pramugara pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, tidak dapat menahan rasa sedih berhubung penerbitan karikatur menjengkelkan mengenai bangkai pesawat itu dalam sebuah majalah Perancis.

Maira Elizabeth, 18, yang mengikuti pengajian diploma dalam bidang komunikasi massa di Kolej SEGi, Subang Jaya berkata tindakan majalah Perancis itu menyiarkan karikatur mengenai tragedi itu dengan cara memalukan adalah "bodoh dan menjengkelkan'.

"Ini adalah satu tindakan tidak beretika oleh majalah tersebut dan menjijikkan kerana ia mengaibkan semua orang.

"Saya tidak percaya bahawa syarikat atau orang-orang seperti itu masih wujud!' katanya dengan nada kesal ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Sering mencetuskan kontroversi, majalah itu dalam penerbitannya baru-baru ini memperlekehkan penemuan flaperon di Pulau Reunion di Lautan Hindi yang telah disahkan oleh pakar-pakar antarabangsa sebagai serpihan daripada MH370.

Tindakan majalah satira itu telah mendapat kritikan dan rasa kesal masyarakat, terutama anggota keluarga dan rakan-rakan 239 penumpang dan anak kapal MH370.

Pesawat Boeing 777 itu hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur pada 8 Mac, tahun lepas.

Shim Kelvin, 39, suami pramugari MH370, Tan Ser Kuin berkata beliau sedang melayari internet untuk mendapatkan berita mengenai pesawat malang itu apabila secara kebetulan ternampak kartun mengenai MH370 itu.

"Saya tidak sangka dalam niat saya melayari internet untuk mendapatkan berita terkini mengenai serpihan itu, saya terjumpa gambar kartun itu yang sinis dan lucah.

"Jika populariti dan jualan meningkat hasil penerbitan karikatur itu, ini adalah hanya kerana adanya pembaca yang menggemari jenaka seperti ini. Mereka mungkin tidak dapat menyelami bagaimana perasaan jika keluarga mereka sendiri hilang atau terlibat dalam tragedi dahsyat dan setakat ini tiada mayat dijumpai," katanya.

Bapa kepada dua orang cahaya mata itu (lelaki berusia sembilan tahun dan perempuan berusia tujuh tahun) berkata beliau kena lebih berhati-hati dan perlu memantau anak-anaknya melayari internet kerana bimbang mereka akan terlihat karikatur itu.

Susulan liputan meluas mengenai tragedi MH370, Shim berharap masyarakat di seluruh dunia dapat memantau dan membimbing anak mereka tentang apa yang disiarkan oleh majalah satira itu, jika mereka mendapati ia tidak bermoral.

Profesor Dr Mokhtar Muhammad daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganggap sindiran itu sebagai sikap kepura-puraan oleh majalah tersebut.


"Mengenai prinsip kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara, majalah itu tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan dan tidak sensitif kepada kesedihan dan kesengsaraan selepas insiden MH370.

"Jika tragedi itu berlaku kepada mereka, adakah mereka akan membuat cemuhan yang sama? Jawapannya mudah iaitu pasti tidak," katanya.

Bagi Norsham Firdaus, pensyarah UiTM dalam komunikasi dan sosiologi, keseluruhan pasukan editorial majalah Perancis itu tiada kelas dan meletakkan profesion kewartawanan ke tahap intelektual yang paling rendah.

Sunday, 2 August 2015

Jumpa pintu, kerusi pula

Saint Andre: Selepas penemuan serpihan sayap pesawat Boeing 777, Rabu lalu, serpihan kedua dipercayai pintu pesawat ditemui terdampar di Pulau Reunion.

BBC melaporkan objek yang dipercayai pintu pesawat itu ditemui di selatan bandar St Denis, hari ini.

Objek berkenaan dipecayai mempunyai tulisan asing di atasnya dan mungkin beberapa ilustrasi.

Sementara itu, The Telegraph melaporkan pembersih sampah, Nicolas Ferrier mendakwa menemui kerusi biru yang disangkanya sampah.

Dia menemui objek berkenaan terdampar pada awal Mei lalu sebelum membakarnya di kawasan berbatu tidak jauh dari situ.

"€œSaya menemui kerusi biru berkenaan awal Mei l lu sebelum memberitahu isteri.

"Saya juga menemui beberapa beg pakaian juga pada ketika itu dipenuhi dengan banyak benda," katanya.

Bagaimanapun, Ferrier berkata, tanpa mengetahui kepentingan barangan itu dia bertindak membakarnya di kawasan berbatu tidak jauh dari situ.

"Itu tugas saya. Saya mengumpul sampah dan membakarnya.

"Saya juga menemui banyak benda dan membakarnya tanpa menyedari (kesannya) katanya.

Sementara itu, pasukan penyiasat sedang meyiasat serpihan besi yang ditemui di Pulau Reunion pada Sabtu.

Bagaimanapun, setakat ini serpihan itu tidak mempunyai tanda-tanda menunjukkan ia sebahagian daripada pesawat, sumber memberitahu AFP.

MH370:MAS bertanggungjawab jaga keluarga penumpang MH370

Tiong Lai menjelaskan sebarang permintaan daripada keluarga krew dan penumpang pesawat MH370 sedang dan akan dikendalikan pihak Malaysian Airlines. Ini termasuk permintaan keluarga mangsa khususnya dari china agar pusat maklumat berhubung MH370 ditubuhkan di Beijing.

Friday, 31 July 2015

MH370: cari siput jumpa serpihan sayap

Saint-Andre (Perancis): Johnny Begue tidak menyangka yang dia akan terserempak serpihan sayap pesawat apabila ke pantai mencari siput.

Penemuan itu kemudiannya membawa dunia terus memberi tumpuan terhadap pulau kecil yang didiaminya.

Begue mengetuai lapan penduduk ke pantai itu untuk melakukan pembersihan di pulau milik Perancis dikenali Reunion.

Penemuan itu berlaku ketika dia berehat pada sebelah pagi. Dia kemudian ke pantai untuk mencari siput yang hendak dicampurkan dengan cili - hidangan yang menjadi kegemaran pelancongan ke pulau itu.

“Ketika itu saya nampak benda pelik di pantai. Saya kemudian panggil rakannya,” katanya.

“Saya terus nampak benda yang pada pendapat saya milik pesawat,” katanya.

Ketika ditemui, sayap sepanjang dua meter itu diselaputi teritip di hujungnya.

Mereka kemudian menarik sayap berkenaan untuk mengelak daripada ditarik laut semula.

Kumpulan itu langsung tidak tahu bahawa benda yang pelik itu adalah serpihan yang kemudiannya menimbulkan spekulasi kemungkinan milik MH370.

Pada awalnya, mereka hendak membiarkan saja sayap itu di pantai bagi tarikan pelancong atau boleh diletakan di kawasan senaman.

Tapi, rakannya Gobalsoumy berkata: “Jumpa serpihan pesawat di pantai tidak normal.

“Kami berkata sesama sendiri, mungkin pesawat ini ada membabitkan nyawa dan penting buat keluarga mereka

“Seorang daripada kemi kemudian mencari maklumat mengenai pesawat di Internet menggunakan telefon bimbitnya dan menemui berita mengenai Malaysia.”

Berita penemuan itu kemudiannya merebak dengan begitu pantas sehingga membawa tumpuan dunia ke pulau yang lebih terkenal dengan serangan jerung.

Pulau berkenaan terkenal dengan 18 serangan jerung dengan tujuh daripadanya membabitkan kematian sejak 2011.

“Inilah kali pertama media tak memperkatakan mengenai serangan jerung yang berlaku di pulau kami,” kata Anna Grondin, 23. - AFP


Teritip lekat setahun lalu

Kuala Lumpur: Teritip pada serpihan sayap dua meter yang ditemui di Pulau Reunion di Lautan Hindi dianggarkan melekat dalam tempoh enam bulan hingga setahun lalu mengukuhkan lagi dakwaan ia adalah pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

Pakar biologi marin di Sekolah Tentera Laut Brest di Perancis, Joseph Poulin berkata, spesis teritip dikenali sebagai ‘Lepas Anatifera’ hidup di dasar laut dengan suhu antara 18 hingga 20 darjah Celsius.

“Saiz dan tumbesaran spesis kerang itu tumbuh satu atau dua sentimeter sebulan bersesuaian dengan tempoh masa tragedi pesawat MH370 yang hilang sejak setahun yang lalu.

“Dengan penemuan teritip ini berkemungkinan mengukuhkan lagi dakwaan serpihan itu adalah milik MH370,” katanya kepada portal Express.co.uk

Poulin berkata, ‘Lepas Anatifera’ adalah teritip pelagik yang melekat pada pelbagai objek terapung termasuk kayu hanyut, botol, bot, pelampung, rakit dan penyu.

“Spesis ini adalah yang paling banyak di perairan tropika dan subtropika seperti di Lautan Hindi di mana penerbangan MH370 dipercayai sudah berakhir.

“Kawasan ini diketahui adalah tempat berkembangnya teritip iaitu bersesuaian dengan kawasan pencarian 60,000 kilometer persegi di luar pantai barat laut Australia,” katanya.

Sementara itu, satu botol minuman dipercayai dari China dan produk pembersihan dari Indonesia ditemui terdampar di Pulau Reunion di lokasi penemuan serpihan flaperon disyaki milik MH370.

Produk berkenaan ditemui beberapa jam selepas serpihan sepanjang dua meter itu dijumpai di lokasi kejadian. - Express.co.uk


TERITIP yang berada di serpihan sayap dijangka melekat enam bulan hingga setahun lalu.

Sah milik Boeing 777

Kuala Lumpur: Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengesahkan serpihan flaperon yang ditemui Pulau Reunion, Rabu lalu, ialah komponen pesawat Boeing 777 yang secara tidak langsung meningkatkan kemungkinan mengesahkan ia adalah milik pesawat penerbangan MH370.

“Berdasarkan nombor siri pada komponen itu, mengesahkan serpihan itu adalah daripada pesawat Boeing 777. Maklumat ini daripada Penerbangan Malaysia. Mereka sudah beritahu saya.

"Saya percaya kita bergerak hampir menyelesaikan misteri MH370. Ini boleh menjadi bukti meyakinkan bahawa MH370 terhempas di Lautan Hindi,” katanya di sini, hari ini.

Hanya satu pesawat Boeing 777 dilaporkan terhempas di Hemisfera Selatan iaitu MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 selepas berlepas dari Kuala Lumpur untuk ke Beijing, China.

Komponen sayap atau flaperon sepanjang dua meter yang ditemui di pulau milik Perancis, Reunion, itu tercatat nombor 657-BB. Ia dihantar ke Perancis malam tadi untuk siasatan.

Kenyataan Abdul Aziz itu adalah kenyataan rasmi pertama mengesahkan komponen berkenaan milik pesawat Boeing 777 dan ia menjadi langkah pertama untuk mengenal pasti pesawat mana.

Menurut Abdul Aziz, pengesahan paling muktamad perlu datang daripada Boeing dan pengubahsuaian oleh syarikat itu terhadap flaperon berkenaan memudahkan ia dikenal pasti.

"Ada beberapa ubah suai pada bahagian dalaman flaperon itu. Hanya Boeing boleh mengesahkan (flaperon itu datang dari MH370). Ubah suai itu dilakukan Boeing.

“Hanya selepas mereka mengesahkan bahagian dalaman flaperon yang mereka ubah suai itu, barulah kita boleh yakin ia dari MH370,” katanya.

Abdul Aziz berkata pasukan penyiasat Malaysia sudah berada Paris dan akan ke Toulouse untuk membantu memeriksa serpihan.

Menurutnya, satu lagi pasukan Malaysia dalam perjalanan ke Reunion untuk memeriksa beg bagasi yang ditemui semalam atau apa saja serpihan dan barang lain ditemui. - AFP

Thursday, 30 July 2015

Hampir pasti milik Boeing 777

London: Pakar berpendapat serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion ialah komponen pada sayap Boeing 777 dikenali sebagai ‘flaperon’ gabungan ‘flap’ dan ‘aileron’ yang terletak pada sayap pesawat.

Menurut laporan Guardian, ‘flap’ membolehkan pesawat terbang pada kelajuan rendah serta menambah seretan yang biasanya terangkat ketika penerbangan. Ia terletak di belakang sayap membolehkan berlepas atau mendarat pada jarak pendek.

‘Aileron’ juga berada di belakang sayap berfungsi membantu pesawat ke kiri atau kanan.

Setakat ini pakar dan penyiasat hanya bergantung pada gambar serpihan yang ditemui di pulau itu untuk membuat kesimpulan.

Banyak spekulasi boleh ditemui di Internet, terutama blog penerbangan yang cuba membandingkan persamaan serpihan ditemui dengan komponen pada pesawat Boeing 777.

Bandingkan serpihan yang ditemui semalam (gambar A) dengan ‘flaperon’ di kilang Boeing (gambar B) yang disiarkan dalam forum perbincangan airliners.net.

Satu lagi petunjuk ialah nombor pada serpihan berkenaan iaitu ‘BB670’. Tidak dapat dipastikan di mana nombor berkenaan ada pada serpihan yang ditemui namun menurut bekas penyiasat Biro Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat, Greg Feith, setiap komponen pesawat mempunyai tag data. Pada Boeing 777 ialah seperti gambar C.

Dalam Aircraft Maintenance Manual (Manual Penyelenggaraan Pesawat) Boeing, 670 merujuk kepada zon nombor bahagian sayap kanan, termasuk ‘flaperon’.

Bagaimanapun, mekanik dari syarikat penerbangan di Réunion, Air Austral, berkata wartawan tempatan meneliti serpihan itu bersama pegawai tentera Perancis mendakwa nombor pada komponen itu ialah 657-BB, berbeza dengan nombor BB670 yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Australia.

Sementara itu, Reuters melaporkan Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata: “Setakat ini hampir pasti ‘flaperon’ itu milik pesawat Boeing 777. Ketua penyiasat kami memberitahu saya.”

Sejak Boeing 777 mula terbang 20 tahun lalu, empat nahas berlaku membabitkan pesawat berkenaan. Hanya MH370 disyaki terhempas di Lautan Hindi berhampiran serpihan itu ditemui.

Agensi penyiasat nahas pesawat Perancis, BEA, menyatakan ia akan bekerjasama dengan pasukan Malaysia dan Australia memeriksa serpihan itu. Australia yang mengetuai gerakan mencari di Lautan Hindi menyatakan siasatan serpihan itu akan diketuai pasukan Perancis dan Malaysia.

Menurut Reuters, Feith berkata, sumbernya di Boeing memberitahunya serpihan itu adalah milik pesawat 777 tetapi tidak dapat dapat dipastikan sama ada milik MH370 atau tidak.

“Namun tiada pesawat Boeing 777 hilang atau terhempas di kawasan itu,” kata Feith.

Pakar lautan berpendapat pertukaran arah arus di selatan Lautan Hindi mungkin menghanyutkan serpihan dari MH370 ribuan kilometer dari lokasi pesawat berkenaan disyaki terhempas.

Pakar laut di Universiti New South Wales di Sydney, Robin Robertson, berkata masa dan lokasi serpihan itu ditemui membuatkan ia berkemungkinan besar milik MH370 berdasarkan keadaan arus Lautan Hindi. - Agensi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang