London: Pakar berpendapat serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion ialah komponen pada sayap Boeing 777 dikenali sebagai ‘flaperon’ gabungan ‘flap’ dan ‘aileron’ yang terletak pada sayap pesawat.
Menurut laporan Guardian, ‘flap’ membolehkan pesawat terbang pada kelajuan rendah serta menambah seretan yang biasanya terangkat ketika penerbangan. Ia terletak di belakang sayap membolehkan berlepas atau mendarat pada jarak pendek.
‘Aileron’ juga berada di belakang sayap berfungsi membantu pesawat ke kiri atau kanan.
Setakat ini pakar dan penyiasat hanya bergantung pada gambar serpihan yang ditemui di pulau itu untuk membuat kesimpulan.
Banyak spekulasi boleh ditemui di Internet, terutama blog penerbangan yang cuba membandingkan persamaan serpihan ditemui dengan komponen pada pesawat Boeing 777.
Bandingkan serpihan yang ditemui semalam (gambar A) dengan ‘flaperon’ di kilang Boeing (gambar B) yang disiarkan dalam forum perbincangan airliners.net.
Satu lagi petunjuk ialah nombor pada serpihan berkenaan iaitu ‘BB670’. Tidak dapat dipastikan di mana nombor berkenaan ada pada serpihan yang ditemui namun menurut bekas penyiasat Biro Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat, Greg Feith, setiap komponen pesawat mempunyai tag data. Pada Boeing 777 ialah seperti gambar C.
Dalam Aircraft Maintenance Manual (Manual Penyelenggaraan Pesawat) Boeing, 670 merujuk kepada zon nombor bahagian sayap kanan, termasuk ‘flaperon’.
Bagaimanapun, mekanik dari syarikat penerbangan di Réunion, Air Austral, berkata wartawan tempatan meneliti serpihan itu bersama pegawai tentera Perancis mendakwa nombor pada komponen itu ialah 657-BB, berbeza dengan nombor BB670 yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Australia.
Sementara itu, Reuters melaporkan Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata: “Setakat ini hampir pasti ‘flaperon’ itu milik pesawat Boeing 777. Ketua penyiasat kami memberitahu saya.”
Sejak Boeing 777 mula terbang 20 tahun lalu, empat nahas berlaku membabitkan pesawat berkenaan. Hanya MH370 disyaki terhempas di Lautan Hindi berhampiran serpihan itu ditemui.
Agensi penyiasat nahas pesawat Perancis, BEA, menyatakan ia akan bekerjasama dengan pasukan Malaysia dan Australia memeriksa serpihan itu. Australia yang mengetuai gerakan mencari di Lautan Hindi menyatakan siasatan serpihan itu akan diketuai pasukan Perancis dan Malaysia.
Menurut Reuters, Feith berkata, sumbernya di Boeing memberitahunya serpihan itu adalah milik pesawat 777 tetapi tidak dapat dapat dipastikan sama ada milik MH370 atau tidak.
“Namun tiada pesawat Boeing 777 hilang atau terhempas di kawasan itu,” kata Feith.
Pakar lautan berpendapat pertukaran arah arus di selatan Lautan Hindi mungkin menghanyutkan serpihan dari MH370 ribuan kilometer dari lokasi pesawat berkenaan disyaki terhempas.
Pakar laut di Universiti New South Wales di Sydney, Robin Robertson, berkata masa dan lokasi serpihan itu ditemui membuatkan ia berkemungkinan besar milik MH370 berdasarkan keadaan arus Lautan Hindi. - Agensi
No comments:
Post a Comment