Nuffnang

Saturday, 15 August 2015

Siar karikatur tragedi MH370, majalah Perancis tidak beretika

KUALA LUMPUR: Anak sulung Andrew Nari, ketua pramugara pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, tidak dapat menahan rasa sedih berhubung penerbitan karikatur menjengkelkan mengenai bangkai pesawat itu dalam sebuah majalah Perancis.

Maira Elizabeth, 18, yang mengikuti pengajian diploma dalam bidang komunikasi massa di Kolej SEGi, Subang Jaya berkata tindakan majalah Perancis itu menyiarkan karikatur mengenai tragedi itu dengan cara memalukan adalah "bodoh dan menjengkelkan'.

"Ini adalah satu tindakan tidak beretika oleh majalah tersebut dan menjijikkan kerana ia mengaibkan semua orang.

"Saya tidak percaya bahawa syarikat atau orang-orang seperti itu masih wujud!' katanya dengan nada kesal ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Sering mencetuskan kontroversi, majalah itu dalam penerbitannya baru-baru ini memperlekehkan penemuan flaperon di Pulau Reunion di Lautan Hindi yang telah disahkan oleh pakar-pakar antarabangsa sebagai serpihan daripada MH370.

Tindakan majalah satira itu telah mendapat kritikan dan rasa kesal masyarakat, terutama anggota keluarga dan rakan-rakan 239 penumpang dan anak kapal MH370.

Pesawat Boeing 777 itu hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur pada 8 Mac, tahun lepas.

Shim Kelvin, 39, suami pramugari MH370, Tan Ser Kuin berkata beliau sedang melayari internet untuk mendapatkan berita mengenai pesawat malang itu apabila secara kebetulan ternampak kartun mengenai MH370 itu.

"Saya tidak sangka dalam niat saya melayari internet untuk mendapatkan berita terkini mengenai serpihan itu, saya terjumpa gambar kartun itu yang sinis dan lucah.

"Jika populariti dan jualan meningkat hasil penerbitan karikatur itu, ini adalah hanya kerana adanya pembaca yang menggemari jenaka seperti ini. Mereka mungkin tidak dapat menyelami bagaimana perasaan jika keluarga mereka sendiri hilang atau terlibat dalam tragedi dahsyat dan setakat ini tiada mayat dijumpai," katanya.

Bapa kepada dua orang cahaya mata itu (lelaki berusia sembilan tahun dan perempuan berusia tujuh tahun) berkata beliau kena lebih berhati-hati dan perlu memantau anak-anaknya melayari internet kerana bimbang mereka akan terlihat karikatur itu.

Susulan liputan meluas mengenai tragedi MH370, Shim berharap masyarakat di seluruh dunia dapat memantau dan membimbing anak mereka tentang apa yang disiarkan oleh majalah satira itu, jika mereka mendapati ia tidak bermoral.

Profesor Dr Mokhtar Muhammad daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganggap sindiran itu sebagai sikap kepura-puraan oleh majalah tersebut.


"Mengenai prinsip kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara, majalah itu tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan dan tidak sensitif kepada kesedihan dan kesengsaraan selepas insiden MH370.

"Jika tragedi itu berlaku kepada mereka, adakah mereka akan membuat cemuhan yang sama? Jawapannya mudah iaitu pasti tidak," katanya.

Bagi Norsham Firdaus, pensyarah UiTM dalam komunikasi dan sosiologi, keseluruhan pasukan editorial majalah Perancis itu tiada kelas dan meletakkan profesion kewartawanan ke tahap intelektual yang paling rendah.

Australia nafi imej "kategori 3" dirakam sonar ada kaitan MH370


KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Australia menafikan laporan berita yang mendakwa imej dirakam sonar yang berbentuk seperti kotak di dasar Lautan Hindi kemungkinan besar daripada pesawat MH370 yang hilang, menurut laporan Australia Associated Press (AAP).

Agensi berita itu memetik jurucakap Menteri Pengangkutan Warren Truss yang mengesahkan objek itu bukan daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

"Semua itu adalah imej lama, dipercayai dirakam beberapa bulan lepas.

"Malah, kebarangkalian yang ia merupakan serpihan pesawat adalah amat kecil," kata jurucakap itu.

Menurut laporan itu, yang diterbitkan oleh beberapa media asing dan media tempatan Malaysia pada Khamis, menyatakan penemuan imej "kategori 3" itu oleh sebuah kapal terlibat dalam operasi mencari, kemungkinan besar adalah serpihan pesawat.

AAP berkata pencarian di dasar laut telah mengenal pasti lebih daripada 400 objek di dasar laut yang diklasifikasikan sebagai kategori 3 yang dirakamkan oleh sonar, yang menarik perhatian kerana keadaannya yang luar biasa daripada keadaan di persekitaran tetapi kebarangkalian mempunyai kaitan dengan pesawat itu amat kecil.

Pada 29 Julai, satu serpihan sayap atau flaperon pesawat ditemukan terdampar di pantai Pulau Reunion dan dihantar ke Perancis untuk dianalisis.
Pada 6 Ogos, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan flaperon itu adalah daripada pesawat MH370.

Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac tahun semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal termasuk 154 warga China.

Mesyuarat tentukan semula kawasan pencarian MH370 dijangka September - Jailani

KUALA LUMPUR: Mesyuarat tiga pihak antara Malaysia, China dan Australia bagi menentukan semula kawasan pencarian pesawat MH370 dijangka awal September ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Misi Pencarian MH370 itu berkata antara perkara akan dibincangkan pada mesyuarat itu adalah sama ada kawasan pencarian perlu diperkecilkan setelah flaperon yang ditemukan di Pulau Reunion disahkan sebagai sebahagian daripada pesawat MH370.

"Setelah flaperon disahkan sebagai sebahagian daripada pesawat, kawasan pencarian mungkin akan ditentukan semula dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Aidilfitri 2015 Persatuan Veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini hari ini.

Pada 6 Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan serpihan atau flaperon pesawat yang ditemukan di Pulau Reunion di Perancis Julai lalu adalah daripada pesawat MH370.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang sedang dalam perjalanan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur hilang pada 8 Mac, 2014.

Sementara itu, Jailani berkata kementerian itu sehingga kini telah menemui lebih 50 pihak berkepentingan bagi usaha meminda Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya draf pindaan akta berkenaan dijangka dibawa ke sidang Parlimen Oktober ini.


"Pindaan ini bukan hanya melihat semula peruntukan dari segi media sosial tetapi juga secara keseluruhan termasuk penguatkuasaan dan penambahbaikan dalam akta ini," katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak sebelum ini mencadangkan dua akta berkenaan dipinda bagi memastikan dunia tanpa sempadan ketika ini tidak disalah guna sehingga boleh mengancam kepada berlakunya jenayah.

Pengeluaran kad pelarian: Polis diminta siasat pejabat UNHCR

ALOR SETAR: Polis diminta siasat pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Malaysia yang dikatakan mengeluarkan kad pelarian secara sesuka hati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pejabat UNHCR telah melakukan kesalahan kerana mereka keluarkan kad pelarian tanpa memberitahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen hingga menyukarkan kawalan dan pemantauan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Mereka ini (UNHCR) macam ‘kerajaan dalam kerajaan’. Malaysia bukan antara negara yang menandatangani Konvensyen 1951 berkenaan Status Pelarian ataupun Protokol 1967.

“Pejabat UNHCR tiada status diplomatik dan mereka kena berhenti serta-merta daripada keluarkan kad pelarian.

“Saya minta polis masuk dan siasat bagaimana kad ini dikeluarkan begitu sahaja,” kata beliau.

Shahidan yang antara lain bertanggungjawab terhadap urusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), juga mahu pendatang yang ditahan dihantar pulang ke negara asal masing-masing bagi mengelak kesesakan di kem-kem tahanan pada masa ini.

Beliau berkata terdapat rungutan orang ramai bahawa berlaku kebanjiran warga asing yang ketara sehingga menggugat keselamatan, ketenteraman dan peluang pekerjaan terhadap warga tempatan.

“Mana-mana warga asing yang mahu memohon status pelarian perlu mengikut saluran yang betul seperti yang ditetapkan undang-undang negara ini.

“Kerajaan tidak mahu mereka yang terlibat dengan jenayah di Myanmar sebagai contoh, datang ke Malaysia dan diberikan kad pelarian oleh UNHCR selepas melalui proses temuduga yang mudah,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita UMNO Bahagian Alor Setar hari ini.

Shahidan berkata, dalam kes terbaharu, terdapat 150 keluarga pelarian dikesan menceroboh tanah di Rompin dan tindakan mereka itu telah dilaporkan kepada kerajaan negeri Pahang.

Beliau meminta Polis dan Jabatan Imigresen menganggap pemegang kad pelarian UNHCR sebagai PATI dan mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, statistik menunjukkan Malaysia kini dibanjiri oleh lebih 130,000 pelarian yang memiliki kad UNHCR, kebanyakannya warga Myanmar dan Bangladesh.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang