Nuffnang

Thursday, 21 November 2013

Pulangkan balik duit

Kuala Lumpur: “Sudah besar panjang, jadi pandai-pandailah fikir. Pesan saya pulangkanlah balik apa yang sudah diambil,” kata pelakon Intan Ladyana kepada bekas pembantu peribadi (PA) yang dipercayai sudah melarikan sejumlah wang untuk transaksi satu urusan, beberapa bulan lalu.

Intan, 31, berkata, penyelewengan wang mencecah ribuan ringgit itu bertitik-tolak daripada salah satu urusan antara bekas pembantu peribadinya dengan pihak ketiga yang enggan didedahkan identiti pada sekitar Jun lalu.

Katanya, walaupun urusan itu tidak membabitkan dirinya tetapi tindakan PA berkenaan yang pernah bekerja dengannya secara tidak langsung membuatkan namanya terkena tempias.

“Sebenarnya kes ini tak ada kaitan dengan saya pun. Beberapa bulan lalu, kami dan pihak ketiga terbabit dalam urusan perniagaan. Malangnya, selepas urusan itu selesai bekas PA saya tidak memulangkan sejumlah wang kepada pihak ketiga itu.

“Saya baru tahu mengenai hal ini pun bulan lalu tapi minta maaf saya tak boleh bercerita lanjut mengenai kes ini. Sebab ia akan mengaibkan bekas PA dan membesarkan lagi hal walaupun tindakannya itu memang salah.

“Cuma menurut pihak ketiga, bekas PA saya masih tidak pulangkan wang itu. Dia pun sudah tak bekerja dengan saya. Bagi saya biarlah mereka uruskan hal itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bekas PA pelakon jelita itu dipercayai memindahkan sejumlah baki bayaran urusan perniagaan mencecah ribuan ringgit milik pihak ketiga ke dalam akaun peribadinya. Dipercayai, bekas PA itu masih tidak memulangkan wang itu selepas beberapa bulan urusan berkenaan selesai.

Intan berkata, bagaimanapun dia bersyukur kerana pihak ketiga terbabit mengetahui cerita sebenar dan tidak menyalahkan dirinya dalam kes itu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang