Nuffnang

Friday, 21 August 2015

Makmal dadah hasil syabu RM15j diserbu

BUKIT MERTAJAM 21 Ogos - Pasukan Khas Taktikal Pe­risikan Narkotik (STING) Bukit Aman sekali lagi berjaya membongkar makmal dadah di negeri ini dan merampas cecair syabu bernilai kira-kira RM15 juta.

Khalid Abu Bakar

Dalam serbuan terbaru, bertindak hasil intipan dan risikan, pasukan STING berkenaan menyerbu sebuah rumah di sini, kira-kira pukul 1 pagi ini dan menahan lima lelaki termasuk dua warga Iran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter miliknya mengesahkan penahanan itu dan memberitahu, sebanyak 324 ki­logram (kg) cecair syabu berjaya dirampas dalam serbuan tersebut.

“Syabas STING @PDRMSIA berjaya bongkar makmal haram di BM Pulau Pinang. Rampas 324 kg cecair syabu bernilai lebih RM15 juta.
“Tangkap lima orang termasuk dua Iran, Go PDRM Go,” ujar Khalid.

Sementara itu, sumber polis berkata, selain cecair syabu, polis turut merampas sejumlah wang tunai dalam serbuan terbabit.

Katanya, sindiket itu dipercayai didalangi warga asing dan cecair syabu berkenaan juga difahamkan dibawa da­ri luar negara.

Tambah sumber ber­kenaan, sindiket itu juga dipercayai berpindah dari satu tempat ke tempat lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Lima lelaki berusia 20 hingga 50 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan dan polis juga sedang mengesan beberapa lagi anggota sindiket berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, sidang akhbar mengenai kejayaan serbuan tersebut akan diadakan di Kontinjen Polis Pulau Pinang di sini, Ahad ini oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mokhtar Shariff.

Wardar penjara tewas digoda berahi

Cuiaba, Brazil: Seramai 28 banduan meloloskan diri dari penjara Nova Mutum selepas beberapa wanita memperdaya tiga wardar dengan menggoda mereka untuk mengadakan parti seks liar.

Tiga wanita - termasuk teman wanita seorang daripada banduan di penjara itu - tiba kira-kira jam 3 pagi Jumaat lalu dan meminta dibenarkan masuk untuk “berborak sambil minum-minum.”

Selepas berjaya memujuk wardar bertugas, mereka memujuk petugas penjara terbabit ke tempat tidur.

Ketua Polis Brasilia, Angelina de Andrade Ferreira berkata, wardar terbabit kemudian diberi arak sehingga mabuk.

“Akibat minum wiski murah dan diberi dadah, wardar pengsan.

“Wanita terbabit kemudian selamba membuka pintu pagar utama yang menuju ke lokap tahanan dan dengan mudah banduan keluar mengikut pintu depan,” katanya.

Polis menemui beg berisi baju dalam mengghairahkan - termasuk bertema ala polis - yang digunakan wanita terbabit.

Pihak berkuasa percaya rancangan itu buah fikiran Bruno Amorim, 18, yang menjalani hukuman kerana cubaan membunuh, merompak dan memiliki senjata api.

Angelina berkata, semua banduan yang melepaskan diri turut melarikan raifal, senapang, pistol dan peluru.

Tiga wardar terbabit sudah ditahan dan akan dikenakan didakwa kerana membantu banduan melarikan diri.

Lapan daripada banduan terbabit berjaya ditahan semula. - Agensi

Lelaki ‘cuba bersih dosa pelacur’ ditangkap

Taipei: Seorang lelaki Kristian fundamentalis memujuk seorang GRO wanita ke dalam bilik hotel sebelum memaksanya berbogel, merompak dan menyerangnya menggunakan pisau, kononnya untuk ‘membersihkan wanita itu daripada dosa.’

Akhbar Liberty Times melaporkan, penganggur berusia 42 tahun itu memberitahu polis, ketika berdoa tiga tahun lalu dia mendengar Tuhan menyuruhnya ‘membersihkan dosa seorang pelacur menggunakan darah.’

Dia terus membeli pisau di pasar raya tempatan dengan harga lebih 200 NTD (RM25) tetapi tidak melaksanakan ‘perintah’ itu sehingga baru-baru ini.

Lelaki dikenali sebagai Shi itu cuba melarikan diri selepas kakitangan hotel yang mendengar jeritan mangsa bergegas membantunya.

Shi yang memberitahu polis dia utusan Tuhan mempunyai rekod sakit mental.

Ketika disoalsiasat, dia berkata fikirannya tidak terganggu, menyebabkan pihak berkuasa mendakwanya atas tuduhan merompak sebelum mencadangkan pendakwa menghantarnya untuk pemeriksaan kesihatan.

Kejadian berlaku bulan lalu di daerah Wanhua, New Taipei City. Bagaimanapun, rakaman kejadian hanya tersebar baru-baru ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Dai terselamat dalam kejadian itu. - Agensi

Serupa tapi bukan kembar di Instagram

Serupa tapi bukan kembar di Instagram
Dua wanita mempunyai persamaan dari segi rupa walaupun mereka bukanlah kembar dan tidak mengenali antara satu sama lain. -Gambar: Imgur/Amanda Fisher

MEMUAT naik gambar di media sosial seperti Instagram bukanlah perkara yang baharu.

Namun ia akan menjadi pelik jika salah seorang pengikut anda memberitahu kalau muka anda mempunyai persamaan dengan seorang individu lain.

Memetik laporan The Independent, itulah yang terjadi kepada Amanda Fisher dan Meredih Pond dari Amerika Syarikat yang mempunyai persamaan dari segi rupa.

Namun mereka bukanlah kembar, malah mereka tidak kenal antara satu sama lain.

Seorang rakan memberitahu Fisher, 23, dari Texas tentang Pond tentang persamaan itu.

Fisher terus cuba menghubungi ‘kembar’ beliau di Instagram namun tidak berjaya.

Beliau kemudian memuat naik gambar berkenaan di laman web perkongsian gambar Imgur dan terus menerima perhatian umum dengan 1.1 juta views.

Ada yang tidak percaya bahawa gambar yang dimuat naik adalah dua individu yang berbeza namun seorang pengguna internet berjaya untuk mengenalpasti bahawa ‘kembar’ Fisher adalah Pond dari Indiana dan berusia 22 tahun.

“Saya berjaya hubungi beliau dan kami saling kongsi gambar.

“Saya berharap saya tidak menakutkan beliau dengan segala perhatian yang diterima,” tulis Fisher di Imgur.

Beliau juga berharap mereka dapat berjumpa satu hari nanti. 

“Saya membaca bahawa setiap orang mempunyai enam atau tujuh orang wajah seiras dalam dunia ini dan saya selalu anggap ia pelik untuk bertemu dengan salah satu dari mereka,” katanya kepada BuzzFeed.

Akaun Facebook dikemaskini dengan peranti yang disangka sudah hilang

NATHAN Buhler dari Kanada tidak peduli untuk mencari peranti beliau apabila ia jatuh di Sungai Bow, Calgary.

Namun, beliau terkejut apabila status Facebooknya dikemaskini menerusi peranti yang difikirkan sudah hilang dan rosak itu.

Lapor CBC News, Buhler sedang berakit di sungai Bow dan apabila muzik dari perantinya terhenti, beliau menyedari bahawa ia sudah jatuh di sungai itu.

“Saya tidak peduli untuk mencari. Kalau saya dapat jumpa pun, ia pasti sudah rosak,” katanya.

Hampir dua minggu kemudian, sebuah pasukan bomba yang berakit di sungai yang sama jumpa peranti berkenaan dan mereka terus mengeringkan ia selama 30 jam.

Seteleh berjaya menghidupkan semula peranti berkenaan, pasukan bomba itu gagal untuk menghubungi Buhler.

Jadi, mereka tiada pilihan selain memuat naik gambar di akaun Facebook milik Buhler menggunakan peranti berkenaan.

Gambar pertama yang dimuatnaik adalah gambar pasukan bomba dengan kapsyen: “Kami telah jumpa telefon awak dan ia berada di stesen bomba.”

Buhler ternyata terkejut dengan gambar itu dan tidak sangka peranti itu masih berfungsi.

Sementara menunggu untuk Buhler mengambil balik telefon beliau, pasukan bomba berseronok dengan peranti berkenaan dengan merakam beberapa gambar yang lucu, seperti seolah ia sedang bersenam dan bermain ping pong. 

“Terima kasih kepada pasukan bomba Calgary untuk bukan sahaja menyelamatkan nyawa. Mereka juga berseronok dengan peranti itu dan ramai yang suka,” tulis Buhler di Facebook.

Bunga Citra Lestari dikecam kongsi foto berbikini di Greece

PENYANYI Indonesia Bunga Citra Lestari (BCL) menjadi topik perbualan hangat setelah memuat naik beberapa foto memakai bikini di akaun Instagramnya.


Bunga Citra Lestari, yang merupakan isteri kepada pelakon Ashraf Sinclair, kini sedang menikmati percutian di Greece bersama suaminya.

Bagaimanapun, ada pengikut Instagramnya meluahkan rasa kurang selesa dengan tindakan BCL yang memuat naik beberapa foto seksi bersama suaminya, terutama yang mendedahkan sebahagian tubuhnya.

Selain berbikini, foto BCL yang berciuman dengan suaminya juga turut menerima pelbagai reaksi peminat.

Rata-ratanya berpendapat foto seperti itu tidak patut didedahkan untuk tatapan umum kerana boleh mengundang pelbagai tanggapan kurang enak terhadap pasangan tersebut.

Bagaimanapun, BCL ada memuat naik sekeping foto bertulisan yang seakan-akan memahami keadaan yang berlaku.

Tulisan tersebut berbunyi: “Don’t judje someone just because they sin differently than you.”

Berikut adalah foto-foto percutian pasangan romantis itu yang diambil daripada akaun Instagram mereka.







Ringgit merosot, Permaisuri Johor tawar bantuan kepada pelajar Malaysia di luar negara

KUALA LUMPUR: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyatakan kebimbangan baginda terhadap pelajar Malaysia di United Kingdom dan juga Amerika Syarikat yang kemungkinan besar sedang menghadapi masalah kewangan berikutan kejatuhan ringgit Malaysia.

Menurut Raja Zarith Sofiah melalui satu kenyataan Facebook, baginda risau jika pelajar Malaysia yang kini menetap di UK serta AS mempunyai wang yang cukup untuk perbelanjaan mereka serta bimbang dengan beban yang mungkin dialami oleh ibu bapa atau keluarga pelajar tersebut bagi pengajian mereka.

“Berapa banyak duit yang tinggal untuk mereka membeli makanan selepas mereka menjelaskan pembayaran untuk sewa serta perbelanjaan pengangkutan setiap hari?

"Berapa banyak duit yang mampu dihantar oleh ibu bapa atau keluarga mereka ?” tulis Raja Zarith yang juga merupakan seorang graduan Universiti Oxford.

“Saya kini sedang bercuti di UK, tetapi saya bernasib baik kerana saya mampu menanggung kemewahan di sini.

“Kepada rakyat Malaysia yang menetap ataupun sedang menuntut pengajian di UK sila maklumkan bagaimana saya boleh membantu anda,” sambung Permaisuri Johor.

Kenyataan Facebook tersebut menerima lebih dari 14 ribu ‘likes’ serta 650 komen.

Para netizen juga tidak melepaskan peluang untuk memuji kemuliaan hati serta keprihatinan baginda kerana sudi menolong pelajar Malaysia yang tidak berkemampuan. 

Ringgit telah menurun 6.6 peratus berbanding dolar AS pada bulan ini, yang menurut Perdana Menteri, ia dipengaruhi cabaran dalam ekonomi global semasa termasuk harga minyak dan semakan turun yuan.

Hari ini, mata wang Malaysia berada pada 6.53 berbanding pound sterling dan 4.16 berbanding dolar AS.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang