Nuffnang

Wednesday, 5 November 2014

Diana King sembuh kerana muzik



Bagi pembaca yang membesar pada era 1990-an pasti mengingati bintang kelahiran Jamaica, Diana King yang terkenal dengan lagu Shy Guy.

Pada era itu, beberapa lagu hitnya seperti Ain't Nobody, L-L-Lie dan I Say A Little Prayer For You menjadi kegemaraan ramai tatkala dimainkan di corong radio.

Walaupun namanya jarang disiarkan media tempatan, penyanyi R&B dan raggae ini masih aktif dalam bidang nyanyian.

Malah, Diana tidak berputus asa dalam kerjayanya biarpun hampir lumpuh selepas menghidap penyakit sistem saraf pusat Multiple sclerosis pada 2005.

Berkongsi perkembangan terkini mengenai dirinya, Diana ketika ditemui pada sidang media Retrofest Asia 2014 di ibu negara baru-baru ini mengesahkan dia sudah sembuh sepenuhnya.

Menceritakan semula pengalaman dilalui sepanjang sakit, penyanyi berusia 43 tahun itu mengakui tertekan sehingga enggan berjumpa sesiapa.

"Saya sukar menerima kenyataan mungkin tidak dapat berjalan lagi. Di saat itulah kehidupan saya mula berubah. Selama beberapa bulan, saya tidak dapat berjalan, mandi dan melakukan rutin seharian," katanya.

Menurutnya, dia akhirnya nekad mengubah hidupnya dan melawan penyakit itu dengan menghasilkan album kelima berjudul AgirLnaMeKING yang memuatkan 13 lagu.

"Saya tidak mahu penyakit itu memusnahkan karier yang dibina sejak 20 tahun lalu dan mula mencipta lagu baru. Album ini sangat bermakna bagi saya kerana mengisahkan perjalanan sukar yang dilalui sepanjang sakit," katanya.

Percaya atau tidak, penyanyi itu memberitahu penyakitnya sudah sembuh kerana muzik.

"Doktor terkejut apabila melihat saya boleh berjalan seperti biasa. Dalam kesibukan menghasilkan lagu, tanpa disedari penyakit itu hilang. Setiap hari, saya menghabiskan banyak masa di studio yang dibina dalam rumah. Muzik menjadi terapi kepada penyakit dihidapi dan kini saya boleh berjalan, melompat, berlari dan menari seperti dulu," katanya.

Mengenai perkembangan terbaru kariernya, Diana berkata dia sedang merancang untuk menghasilkan karya baru dalam masa terdekat ini.

"Kini hidup saya tenang dan bersedia untuk menghasilkan lagu baru," katanya.

Sabtu lalu, Diana berada di Kuala Lumpur untuk membuat persembahan di konsert Retrofest Asia 2014 yang berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon.

Kali kedua datang ke negara ini, penyanyi itu menyanyikan beberapa lagu popularnya.

Turut menggegarkan pentas Retrofest Asia 2014 adalah tiga penyanyi terkenal era 1990-an, Tevin Campbell, Diana King, Color Me Badd dan Firehouse.

Matlamat konsert itu bagi mengembalikan kehangatan dan kehebatan muzik dua dekad lalu, selain memeriahkan acara Kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6826#sthash.2rV1w5My.dpuf

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang