KUALA LUMPUR: Peserta perhimpunan Bersih 4 didorong emosi yang terlalu tinggi sehingga merelakan diri menyertai gerombolan kumpulan baju kuning.
Pakar psikoterapi, Azman Shah Aziz berkata tarikan dan minat sama untuk berhimpun yang dianggap menyeronokkan menyuntik semangat peserta Bersih 4 untuk bersama walaupun dilarang pihak berkuasa.
"Ia seperti semangat yang didorong emosi tinggi di dalam pemikiran peserta perhimpunan.
"Mereka mempunyai minat yang sama dan merasakan ia menyeronokkan. Pada fikiran mereka tindakan itu untuk mencabar selain mempunyai hak untuk melakukannya.
"Dari segi sikap mereka anggap tindakan itu tidak salah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bersih 4 dijadual berlangsung dari pukul 2 petang ini sehingga tengah malam Ahad.
Ia akan diadakan serentak di Kuala Lumpur, Kuching di Sarawak dan Kota Kinabalu di Sabah.
Di Kuala Lumpur, lima lokasi telah ditetapkan sebagai lokasi berhimpun iaitu di Sogo KL, Pasar Seni, Dataran Maybank, Brickfields dan Masjid Negara.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Dr Abdul Jalil Hassan mengandaikan tindakan berhimpun seperti mentaliti degil masyarakat terhadap beberapa isu setempat.
"Semuanya mengenai minda, apa yang dilarang itu yang masyarakat suka buat.
"Contohnya, apabila ada notis larangan buang sampah, di bawah notis itulah orang ramai akan membuang sampah, situasi itu boleh dilihat di mana-mana," katanya.
No comments:
Post a Comment