Nuffnang

Friday, 31 October 2014

Curi kereta mewah setiap bulan untuk kekasih



Kuwait: Polis semalam menahan seorang lelaki yang mencuri sebuah kereta mewah setiap bulan hanya untuk menggembirakan teman wanitanya.

Penangkapan itu dibuat selepas polis menahan teman wanita lelaki berkenaan memandu sebuah kereta curi.

Apabila disoal, wanita itu berkata, kereta berkenaan hadiah daripada teman lelakinya.

Dia juga memberitahu teman lelakinya memberinya kereta mewah berlainan setiap bulan.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila diberitahu kereta dipandunya itu kereta curi.

Akhbar Al Watan melaporkan, wanita itu memberikan maklumat teman lelakinya yang membolehkan lelaki itu ditangkap.

Lelaki itu ketika disoal siasat mengaku memberitahu teman wanitanya bahawa dia jutawan.

Untuk meyakinkan kekasihnya, dia mencuri kereta mewah setiap bulan untuk diberikan kepadanya. - Agensi

Belajar ilmu tawar-menawar



Wanita genit ini memiliki keinginan untuk mencari pengalaman di negara luar sejak di bangku sekolah. Namun hasrat Tomoko Nakano sering terhalang dek ibu bapa yang bimbang akan keselamatannya bersendirian di negara asing.

Pendedahan dilalui sewaktu percutian ke Malaysia sejak zaman kanak-kanak membuatkan wanita berusia 35 tahun ini sangat menyukai negara beriklim khatulistiwa ini.

Nekad dengan impiannya, pada usia 23 tahun, wanita kelahiran negara matahari terbit ini berjaya hidup berdikari di Malaysia.

Kali pertama datang ke Malaysia dan tujuannya?

Sebenarnya, Malaysia antara negara kegemaran saya dan keluarga sebagai destinasi pelanco­ngan, terutama ketika musim panas dan sejuk.

Seingat saya, kali pertama saya datang ke Malaysia ketika ber­usia 10 tahun bersama ibu bapa dan seorang kakak. Selepas itu kami kerap bercuti ke Malaysia.

Malaysia banyak meninggalkan memori baru dan indah buat saya, justeru saya memiliki impian untuk berada di sini dalam jangka masa panjang.

Berhasrat mencari pengalaman hidup di luar Jepun, saya mula membuat tabungan sendiri dan 12 tahun lalu, akhirnya saya tiba di negara ini.

Hanya berkemampuan berbahasa Jepun, saya mengikuti kelas bahasa Inggeris di sini dan me­nyambung pelajaran di sebuah kolej swasta. Dalam masa sama, saya bekerja sambilan bagi menampung kehidupan sendiri di Malaysia.

Hingga kini saya masih berada di Malaysia dan menikmati kehidupan menarik di sini.

Pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum tiba di sini?

Walaupun kunjungan kali pertama ke Malaysia pada usia kanak-kanak, saya sangat tertarik dengan kehidupan dan kepelbagaian masyarakat serta agama di sini.

Tiga bangsa utama yang berlainan kepercayaan mampu hidup harmoni dalam satu negara. Kepelbagaian agama itu membuatkan saya mengkaji setiap agama.

Saya juga tertarik dengan Plaza Sungei Wang di Bukit Bintang kerana di situ ada pelbagai jenama dan produk antarabangsa, bukan seperti di Jepun yang hanya menawarkan produk tempatan. Bagi saya, ia satu keistimewaan.

Cabaran dilalui sepanjang di Malaysia?

Saya datang ke Malaysia de­ngan wajah asli wanita Jepun dan sukar berbahasa Inggeris, jadi tidak dinafikan saya berdepan masalah berkaitan pengangkutan di sini, pada permulaannya.

Saya perlu belajar skil tawar-menawar, terutama dengan pemandu teksi. Jika di Jepun, semuanya tersusun dan tetap, jadi kami tidak perlu tawar-menawar. Dua belas tahun berada di sini, saya juga pandai dalam bab tawar-menawar.

Makanan bukan masalah utama kerana saya sangat menggemari makanan pedas.

Pengalaman menarik ingin dikongsikan?

Kali pertama berada di Malaysia, saya berjaya melihat bunga Rafflesia di Ipoh, Perak bersama teman.

Saya juga berpeluang melakukan snorkeling di Pulau Perhentian. Lebih menarik, saya melihat penyu berenang berdekatan saya. Ia pengalaman menakjubkan.

Selain itu, Malaysia sangat terkenal dengan budaya makan. Ia ibarat perkara yang sangat penting untuk meluangkan masa bersama.

Namun saya akui budaya makan ini memberi manfaat iaitu menambah kenalan, malah peluang perniagaan juga wujud.

Bayangkan sekali kali bertemu, soalan pertama diajukan, "Dah makan?

Lokasi kegemaran anda?

Saya sangat menyukai kawasan Bukit Bintang.

Makanan tempatan kegemaran anda?

Sate, kuetiau sup dan yee mee kantonis.

Malaysia di mata anda?

Saya akui tenang dan seronok di Malaysia. Meninggalkan Jepun tidak bermaksud saya tidak bangga dengan tanah air sendiri, sebaliknya kehadiran saya di Malaysia mampu mempromosikan Jepun kepada rakyat tempatan.

Selain itu, rakyat Malaysia dan Jepun saling mengagumi antara satu sama lain, terutama membabitkan budaya.

Pencipta wajah seram



PEKERJA rumah kebajikan Nikki Shelley, 33, mempunyai minat unik apabila menggunakan cat wajah untuk mengubah mukanya sehingga menyerupai pelbagai watak menakutkan, termasuk hantu serta zombi, malah hasil tangannya kini semakin popular di Facebook sehingga turut mendapat perhatian pakar kesan khas siri fiksyen sains popular BBC, Doctor Who dan Torchwood.

Ibu tiga anak itu yang mempelajari sendiri kemahiran melukis muka nyata terkejut dengan perhatian diterimanya.

“Saya melakukannya kerana minat tanpa menyangka ia mampu mendapat reaksi sebegini. Saya tidak membuat apa-apa perancangan ketika menyolek wajah, sebaliknya membiarkan saja kreativiti mengambil alih pergerakan tangan saya,” katanya.

Nikki berkata, minat itu bermula selepas mengecat wajah tiga anaknya - Taylor, 13, Leah, 11, dan Kaiden, sembilan - untuk Halloween tanpa menyangka itu sebenarnya bakat terpendam.

Hasil kerja yang dimuat naik ke Facebook mendapat pujian lebih 1,000 pengguna media sosial itu dan keluarganya termasuk suami, Craig, 37, kagum dengan bakatnya sehingga menganggap rugi jika tidak menjadikannya kerjaya profesional.

“Pada mulanya saya mengecat wajah anak untuk Halloween. Kemudian saya cuba pula menyolek muka Craig. Lama-lama saya mengecat muka sendiri dan cuba memikirkan pelbagai kaedah untuk menghasilkan wajah berbeza dan unik,” katanya.

Menurutnya, idolanya yang juga pereka prostetik, Neill Gorton turut tertarik dengan bakatnya dan memintanya menyertai persidangan The Prosthetics Event di Birmingham sebagai tenaga pengajar, bulan depan.

“Ini memang peluang besar untuk saya. Tidak pernah saya terbayang mampu menjadi pengajar dalam acara dikendalikan Gorton.

“Memang tempoh 18 bulan lalu sungguh menyeronokkan dan kini saya berpeluang pula belajar menghasilkan prostetik. Siapa tahu? Mungkin satu hari nanti saya berpeluang menggunakan bakat ini untuk rancangan televisyen atau filem,” katanya.

Usah sertai Halloween



Kuala Lumpur: Perayaan Halloween bertentangan dengan nilai syariah dan semua umat Islam tidak perlu menyambutnya kerana dibimbangi akan menjejaskan akidah individu terbabit.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam kenyataannya memaklumkan, perayaan berkenaan tidak boleh diraikan masyarakat Islam kerana tujuan asas perayaan itu memperingati individu yang sudah meninggal dunia.

“Islam tidak pernah mengesyorkan untuk mengingati orang mati dalam keadaan demikian, sebaliknya kita seharusnya memperbanyakkan doa serta membaca al-Quran.

“Meraikan perayaan berkenaan dibimbangi menjejaskan akidah individu terbabit dan semua umat Islam digesa menjauhinya dan menghindari daripada menyertai sebarang bentuk perayaan seumpama itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Menurutnya, secara asasnya, perayaan berkenaan dipengaruhi tradisi pagan kuno berkaitan pesta semaian hasil tanaman yang dilakukan golongan Samhain dan kalangan kaum Celtic di Ireland serta Britain.

“Kini, perayaan berkenaan biasanya diraikan dengan aktiviti seperti parti pakaian, kanak-kanak berpakaian aneh melawat rumah serta menyalakan unggun api.

“Kita tidak mahu masyarakat Islam terjebak dengan perayaan seumpama itu dan seharusnya orang Islam harus lebih peka dalam meraikan sesuatu perkara dengan melihat kesannya terhadap akidah,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Datuk Nadzim Johan berkata, hukum Islam jelas melarang umatnya meniru budaya dan cara hidup orang bukan Islam terutama dalam sambutan Halloween.

Peluntur tepung selamat


Putrajaya: Bahan peluntur ‘Benzoyl peroxide’ (BP) selamat digunakan jika kadarnya tidak melebihi 75 miligram (mg) dalam kuantiti satu kilogram (kg) tepung gandum, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata, kadar BP itu sama seperti yang ditetapkan oleh Codex Alimentarius Commission (CAC), iaitu badan antarabangsa yang ditubuhkan di bawah program bersama standard pemakanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO).

Beliau berkata, penggunaan kadar BP di bawah 75mg dalam kuantiti satu kilogram tepung tidak akan memudaratkan kesihatan pengguna kerana ia hanya sekadar pewarna.

“Ia bertindak memutihkan tepung gandum dan jika tidak digunakan, warnanya (tepung gandum) menjadi gelap, itu sahaja.

“Sehubungan itu, tepung gandum di negara ini yang menggunakan BP di bawah 75mg masih boleh dikategorikan sebagai selamat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Saintifik Tahunan Persatuan Torasik dan Kardiovaskular Malaysia (MATCVS) ke-16 di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Persidangan selama tiga hari bermula kelmarin itu dihadiri oleh pakar dari luar negara bagi membahaskan kemajuan dan perkembangan terkini di seluruh dunia bersama pakar bedah jantung tempatan.

Baru-baru ini, media melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan mengharamkan penggunaan BP dalam tepung gandum yang dijual di negara ini.

Ia susulan daripada pendedahan dibuat Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengenai penggunaan BP memutihkan tepung yang dikhuatiri menjejaskan kesihatan pengguna.

Bagaimanapun Dr Hilmi berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan bersama KPDNKK untuk membincangkan sama ada tepung gandum akan diharamkan atau sebaliknya selepas ini.

Letup pakaian, jean


Kuala Lumpur: Beg disangkakan bom jangka sebaliknya hanyalah berisi gumpalan baju dan seluar jean sebaik dimusnahkan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur malam tadi.

Beg mencurigakan itu ditemui pekerja sebuah bank berhampiran pintu masuk pusat kewangan itu di Jalan Medan Tuanku di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan beg setinggi 0.6 meter itu dipercayai ditinggalkan seorang individu sebelum ia disyaki mengandungi bahan berbahaya.

Susulan itu pihak polis meletupkan beg itu sebanyak dua kali di lokasi berhampiran pada jam 7.40 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, beg itu disahkan tidak mengandungi sebarang bom atau bahan yang boleh membahayakan nyawa.

“Selepas dibuka, beg itu hanya mengandungi baju dan seluar jean. Setakat ini belum dapat dipastikan motif beg itu ditinggalkan di lokasi kejadian.

“Menurut pekerja bank, beg itu ditinggalkan pada awal pagi dan mereka hanya melaporkan kepada polis pada jam 4 petang,” katanya.

Menurutnya, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti individu yang meninggalkan beg berkenaan.

Penuntut kolej didakwa bunuh kakak



SHAH ALAM: Seorang penuntut kolej swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh kakak kandungnya di rumah mereka di Kota Kemuning di sini, minggu lalu.

Toh Wei Jun, 18, didakwa membunuh Toh Wei Teen, 22, di rumah mereka di Taman Kemuning Utama, Seksyen 33 di sini, antara 11.12 malam, 25 Okt lalu sehingga 3.30 pagi keesokannya.

Tertuduh, anak bongsu lelaki daripada tiga beradik, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Wei Jun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin menetapkan 1 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip sementara tertuduh diwakili peguam Datuk Arunan Selvaraj.

Sepanjang prosiding, ibu tertuduh dilihat sentiasa menangis sambil ditenteramkan suami dan anggota keluarganya.

Akhbar sebelum ini melaporkan mayat Wei Teen, anak kedua, yang merupakan penuntut Universiti Malaysia Sabah ditemui dalam keadaan lehernya dikelar di depan pintu biliknya. - Bernama

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5595#sthash.ihaAmdhh.dpuf

'Bertarung nyawa' beli tiket



Hanya kerana mahu mendapatkan tiket final Piala Malaysia Sabtu ini, hampir 4,000 penyokong Pahang terpaksa 'bertarung nyawa' berebut-rebut membeli tiket di Stadium Mini Temerloh semalam.

Ketika sibuk berasak-asak membeli tiket sebaik empat kaunter tiket dibuka jam 9.50 pagi, ada penyokong yang terpaksa diusung keluar kerana mengalami sesak nafas dan cedera di kaki kerana dipijak serta terkena serpihan kaca tingkap kaunter yang pecah.

Kekecohan berlaku apabila ada penyokong yang tiba lewat cuba memotong barisan hingga mencetuskan rasa marah penyokong yang tiba seawal jam 2 pagi untuk mendapat tiket dua keping setiap seorang.

Biarpun pihak keselamatan dilihat gagal menyusun pergerakan penyokong membeli tiket dengan lebih teratur, namun mujurlah tidak ada pergaduhan berlaku walaupun ada penyokong bertindak membaling kerusi ke arah kaunter tiket.

Namun Mohd Rosman Kamarudin, 20, dari Jengka, Pahang melalui detik mencemaskan apabila ditolak hingga jatuh sebelum kakinya dipijak oleh penyokong ketika membeli tiket.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang