Wanita genit ini memiliki keinginan untuk mencari pengalaman di negara luar sejak di bangku sekolah. Namun hasrat Tomoko Nakano sering terhalang dek ibu bapa yang bimbang akan keselamatannya bersendirian di negara asing.
Pendedahan dilalui sewaktu percutian ke Malaysia sejak zaman kanak-kanak membuatkan wanita berusia 35 tahun ini sangat menyukai negara beriklim khatulistiwa ini.
Nekad dengan impiannya, pada usia 23 tahun, wanita kelahiran negara matahari terbit ini berjaya hidup berdikari di Malaysia.
Kali pertama datang ke Malaysia dan tujuannya?
Sebenarnya, Malaysia antara negara kegemaran saya dan keluarga sebagai destinasi pelancoÂngan, terutama ketika musim panas dan sejuk.
Seingat saya, kali pertama saya datang ke Malaysia ketika berÂusia 10 tahun bersama ibu bapa dan seorang kakak. Selepas itu kami kerap bercuti ke Malaysia.
Malaysia banyak meninggalkan memori baru dan indah buat saya, justeru saya memiliki impian untuk berada di sini dalam jangka masa panjang.
Berhasrat mencari pengalaman hidup di luar Jepun, saya mula membuat tabungan sendiri dan 12 tahun lalu, akhirnya saya tiba di negara ini.
Hanya berkemampuan berbahasa Jepun, saya mengikuti kelas bahasa Inggeris di sini dan meÂnyambung pelajaran di sebuah kolej swasta. Dalam masa sama, saya bekerja sambilan bagi menampung kehidupan sendiri di Malaysia.
Hingga kini saya masih berada di Malaysia dan menikmati kehidupan menarik di sini.
Pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum tiba di sini?
Walaupun kunjungan kali pertama ke Malaysia pada usia kanak-kanak, saya sangat tertarik dengan kehidupan dan kepelbagaian masyarakat serta agama di sini.
Tiga bangsa utama yang berlainan kepercayaan mampu hidup harmoni dalam satu negara. Kepelbagaian agama itu membuatkan saya mengkaji setiap agama.
Saya juga tertarik dengan Plaza Sungei Wang di Bukit Bintang kerana di situ ada pelbagai jenama dan produk antarabangsa, bukan seperti di Jepun yang hanya menawarkan produk tempatan. Bagi saya, ia satu keistimewaan.
Cabaran dilalui sepanjang di Malaysia?
Saya datang ke Malaysia deÂngan wajah asli wanita Jepun dan sukar berbahasa Inggeris, jadi tidak dinafikan saya berdepan masalah berkaitan pengangkutan di sini, pada permulaannya.
Saya perlu belajar skil tawar-menawar, terutama dengan pemandu teksi. Jika di Jepun, semuanya tersusun dan tetap, jadi kami tidak perlu tawar-menawar. Dua belas tahun berada di sini, saya juga pandai dalam bab tawar-menawar.
Makanan bukan masalah utama kerana saya sangat menggemari makanan pedas.
Pengalaman menarik ingin dikongsikan?
Kali pertama berada di Malaysia, saya berjaya melihat bunga Rafflesia di Ipoh, Perak bersama teman.
Saya juga berpeluang melakukan snorkeling di Pulau Perhentian. Lebih menarik, saya melihat penyu berenang berdekatan saya. Ia pengalaman menakjubkan.
Selain itu, Malaysia sangat terkenal dengan budaya makan. Ia ibarat perkara yang sangat penting untuk meluangkan masa bersama.
Namun saya akui budaya makan ini memberi manfaat iaitu menambah kenalan, malah peluang perniagaan juga wujud.
Bayangkan sekali kali bertemu, soalan pertama diajukan, "Dah makan?
Lokasi kegemaran anda?
Saya sangat menyukai kawasan Bukit Bintang.
Makanan tempatan kegemaran anda?
Sate, kuetiau sup dan yee mee kantonis.
Malaysia di mata anda?
Saya akui tenang dan seronok di Malaysia. Meninggalkan Jepun tidak bermaksud saya tidak bangga dengan tanah air sendiri, sebaliknya kehadiran saya di Malaysia mampu mempromosikan Jepun kepada rakyat tempatan.
Selain itu, rakyat Malaysia dan Jepun saling mengagumi antara satu sama lain, terutama membabitkan budaya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4106#sthash.rvWoewq6.dpuf
No comments:
Post a Comment